
Laporan/foto: Hafizul Adzhari (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka (JPNIN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Peringkat DUN Kuala Linggi bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mencapai matlamatnya menerusi Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata inisiatif ini bertujuan menyasarkan pemberian vaksin kepada komuniti secara bergerak atau bantuan bagi mempercepatkan dan mempermudahkan rakyat mendapat suntikan vaksin COVID-19.
“MOVAK merupakan inisiatif yang digerakkan bertujuan membantu program vaksinasi peringkat kebangsaan bagi mempercepatkan lagi sasaran 80 peratus imuniti kelompok menjelang Oktober tahun ini.
“Ini juga akan membantu memudahkan komuniti yang sukar untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang jauh dari mereka dan program yang dijalankan ini akan berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini sehingga esok.
“Program ini akan diperluaskan di beberapa kawasan antaranya Ayer Limau, Machap dan beberapa lagi kawasan yang akan dikenal pasti, sasaran seramai 600 komuniti setempat yang akan menerima vaksin dan akan di lanjutkan sekiranya program MOVAC ini mendapat sambutan daripada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, di sini semalam.
-FF