Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

MTAC Akan Terus Bangunkan Industri Pelancongan

By 29 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Safik Effendi Kassim/Cassidy Lisut (Sarawak)

KUCHING, 29 Jul (Malaysiaatif) – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) akan terus membantu untuk membangunkan industri pelancongan di Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelancongan Sarawak semalam.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda, sektor industri pelancongan menurun dan turut menjejaskan ekonomi negara, MTAC telah melaksanakan langkah jangka pendek untuk memulihkan industri pelancongan tempatan.

“Antara langkah tersebut ialah Kempen ‘Sia Sitok’ Sarawak untuk mempromosikan perjalanan dalam negeri, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak dan Pakej Insentif Pengunjung (VIP),” ujarnya di Bangunan Baitulmakmur 2 Petra Jaya, di sini.

Sidang Media Jawatankuasa Penyelarasan Pelancongan Sarawak.

Sidang Media Jawatankuasa Penyelarasan Pelancongan Sarawak.

Sebastian memaklumkan, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak adalah program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyenggaraan laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak.

“MTAC juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Kolej SATT dalam menganjurkan kursus Pemandu Pelancong Khusus Daerah (RSTG) di seluruh Sarawak.

“Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan pelancongan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam industri pelancongan Sarawak,” katanya.

Menurut Sebastian, MTAC sedang menyiapkan syarat dan garis panduan untuk membuka kembali sektor pelancongan apabila Sarawak sudah mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 dan memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara.

“Kami menjangkakan bahawa industri pelancongan di Sarawak akan dibuka untuk pelancongan domestik sebelum akhir tahun dan untuk perjalanan antarabangsa menjelang 2022,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda