Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MTM 2021 Bawa Peluang Bernilai RM50 Juta

By 29 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Program Malaysia Tech Month 2021 (MTM 2021) yang bermula hari ini hingga 30 Ogos dijangka membawa peluang bernilai RM50 juta kepada negara, apabila ia menarik penyertaan lebih 20,000 peserta daripada 50 negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata program maya selama sebulan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu adalah sebahagian daripada usaha gigih menyeluruh yang dilaksanakan selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara bagi menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi pada 2030.

“MTM 2021 adalah program selama sebulan yang direka khusus bagi menyediakan ruang buat orang ramai dan sektor swasta terlibat dalam persekitaran berkaitan digital dan teknologi – bersama dan membawa idea bagi mengembleng kekuatan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital rantau ini,” katanya semasa melancarkan acara maya berkenaan itu hai ini.

Menteri itu berkata 40 program yang dirancang sepanjang bulan berkenaan akan meneroka isu-isu utama berkaitan ekonomi digital Malaysia, termasuk Islamic Fintech, sektor teknologi pertanian, kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), teknologi dron, e-Commerce dan industri kandungan kreatif digital.

Saifuddin berkata pelancaran edisi kedua MTM adalah bukti matlamat pihak kementerian bagi memastikan bahawa teknologi itu memberikan manfaat kepada semua, dan memastikan peluang yang menguntungkan ramai, semasa negara mengharungi norma sosio-ekonomi baharu yang belum pernah diterokai, dan gangguan radikal kepada perniaaan serta kehidupan.

Sementara itu MDEC dalam kenyataannya berkata MTM 2021 menampilkan penceramah terkenal antarabangsa seperti penulis tersohor Prof. Dr. Michio Kaku; ketua pegawai saintifik Renault Group dan pencipta bersama Apple Siri Dr Luc Julia; Pengasas Bersama Bukalapak Muhamad Fajrin Rasyid; serta pengasas Kumpulan Aerodyne dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Kamarul A Muhamed.

Selain itu ia turut disertai lebih 300 penceramah dan pelabur industri atarabangsa dan tempatan, yang akan mengambil bahagian, berkongsi pandangan serta pengalaman menerusi sesi bengkel, ucaptama, panel perbincangan, dan pemadanan.

MDEC berkata penganjuran MTM 2021 sejajar dengan Strategi Digital Investments Future5 (DIF5) yang baru dilancarkan – yakni rancangan lima tahun memfokuskan kepada lima teras utama yang bertujuan menarik pelaburan serta memajukan ekonomi digital Malaysia selaras dengan MyDIGITAL.

Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, MTM 2021 akan membantu mencapai matlamat DIF5 dengan menggalakkan perbincangan dalam kalangan sektor industri utama seperti FinTech dan Ekonomi Digital Islam, serta memupuk kolaborasi serantau dan global melalui pemadanan perniagaan dan menyokong pelaburan.

“Ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk mencapai visi Malaysia 5.0, sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi, memberikan peluang digital yang adil kepada masyarakat dan perniagaan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda