Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pelaksanaan MOVAC di Perkarangan Masjid Mudahkan Penduduk Terima Vaksin

By 29 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)

ARAU, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang diadakan di perkarangan Masjid Ar-Rahman Simpang Sanglang bukan sahaja memudahkan para penduduk setempat malah menjadi cerminan perpaduan dengan menggunakan kemudahan ruangan kawasan masjid untuk manfaat bersama.

Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Ar-Rahman Mohd Nor Dali, penganjuran program suntikan vaksin di kawasan masjid telah mendapat kebenaran dari pihak-pihak yang berkaitan dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa masjid.

“Anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh para penerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di Masjid Ar-Rahman Simpang Sanglang, di sini semalam.

Seorang veteran tentera, Mohd Saad Salleh, 81, yang ditemui berkata sebelum ini masjid cuma digunakan sebagai tempat untuk umat Islam beribadat namun kini ia digunakan untuk program suntikan vaksin bagi melindungi rakyat dari jangkitan wabak COVID-19.

Che Shou Heon menerima suntikan vaksin di bas bergerak MOVAK di Masjid Ar-Rahman Simpang Sanglang.

Che Shou Heon menerima suntikan vaksin di bas bergerak MOVAK yang diadakan di Masjid Ar-Rahman Simpang Sanglang.

“Dengan inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan melalui MOVAK telah memberi manfaat kepada para penduduk di sini yang mana para penerima vaksin termasuk warga emas tidak lagi perlu ke bandar Kangar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Pemilihan masjid ini sebagai tempat pemberian vaksin amatlah bersesuaian kerana lokasinya yang strategik dan memudahkan semua penduduk pelbagai kaum untuk hadir bersama-sama untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, sekali gus mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun usianya telah mencecah 81 tahun namun beliau sangat teruja untuk menerima suntikan vaksin di dalam bas yang telah diubah suai menjadi pusat suntikan vaksin.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perlis Roziena Ahmad (dua dari kiri) turut hadir memberi kata-kata semangat kepada penerima vaksin.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perlis Roziena Ahmad (dua dari kiri) turut hadir memberi kata-kata semangat kepada penerima vaksin.

Chew Shou Heon, 42, seorang guru tuisyen dari Pekan Kuala Sanglang menyambut baik program MOVAK diadakan di kawasan perkarangan Masjid Ar-Rahman ini.

“Saya dan isteri menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini dan ini merupakan kali pertama saya datang ke masjid ini yang mana proses suntikan berjalan dengan cepat, lancar dan sistematik.

“Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Perpaduan Negeri serta ahli jawatankuasa masjid ini kerana memberi layanan mesra kepada saya dan isteri dan kami akan datang lagi ke sini lagi pada 17 Ogos nanti untuk suntikan dos kedua,” jelasnya.

Seorang penerima vaksin Salwa Ahmad, 65, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berpuas hati dengan pelaksanaan program yang berlangsung di masjid ini.

“Saya tidak perlu pergi ke bandar Kangar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Dengan inisiatif yang disediakan kerajaan melalui bas bergerak MOVAK ini sangat memudahkan saya dan juga para penduduk setempat untuk menerima suntikan vaksin berikutan lokasinya yang strategik dengan kemudahan yang mesra OKU,” katanya.

Salwa berkata, kemudahan pengangkutan turut disediakan bagi membawa para penerima vaksin ke pusat suntikan dan menghantar mereka kembali ke rumah setelah selesai.

Program MOVAK ini beroperasi bermula pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari dan dari pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang setiap hari.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerajaan Negeri Perlis Roziena Ahmad yang turut menyumbangkan kerusi roda untuk kegunaan para penerima vaksin yang memerlukannya.

-NI-

Tinggalkan komen anda