
Laporan/foto: Kuan Tat Seng/Shalene Selva Segar (Timur Laut)
GEORGETOWN, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan Program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) dalam komuniti secara percuma dan bersasar.
Ketua Menterinya Chow Kon Yeow, berkata PSC-19 yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang ini merupakan antara langkah menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Program ini merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 di seluruh Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow bersama-sama Exco Jagdeep Singh Deo meninjau perjalanan PSC-19 dekat Stadium Bandaraya, pagi semalam.
“PSC-19 pada hari ini melibatkan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datok Keramat, Sungai Pinang, Batu Lancang, Padang Kota, Pengkalan Kota dan Pulau Tikus,” katanya semasa lawatan sempena program tersebut di Stadium Bandaraya, di sini semalam.
Menurut Chow, PSC-19 ini kemudian akan dilaksanakan di lokasi lain secara bertahap dengan perincian akan diumumkan dalam sebulan.
“Ujian saringan ini masih perlu dijalankan untuk mengenal pasti kes positif meskipun Pulau Pinang telah memasuki lain-lain fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kos untuk ujian RTK-Antigen PSC-19 akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan mereka yang berminat boleh mendaftar melalui https://penangsaring.selangkah.my atau melalui talian 04-6505379 /5683/5658/5730,” katanya.
Dalam pada itu, Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo, berkata 40,000 penduduk dari 19 kawasan panas dan 11 DUN di negeri ini akan terlibat di bawah program tersebut.
“Inisiatif ini bagi membolehkan ketua isi rumah, penghantar makanan atau bungkusan, penjaja, peniaga barang keperluan dan individu berisiko tinggi seperti warga emas boleh menjalankan ujian saringan ini,” katanya.
-ii-