
Laporan/foto: Nazri Ramshah Abdul Basah/Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Program Dapur Belia 4.0 anjuran Majlis Belia Sabah (MBS) kali ini menyasarkan belia yang menceburi bidang ekonomi gig seperti penghantar makanan melalui aplikasi digital di sekitar bandar ini.
Salah seorang penerima bantuan Mohd Hafiz Ariman, 26, yang bermula sebagai pekerja penghantar makanan pada Mac selepas diberhentikan kerja amat bersyukur atas bantuan yang diberikan.
“Saya antara penghantar makanan yang bertuah menerima makluman mengenai program ini dan dijemput untuk hadir menerima bantuan yang diberi oleh penganjur program.
“Dengan adanya bantuan topi keledar yang diberikan akan sedikit sebanyak menjamin keselamatan semasa menghantar makanan di samping menaikkan lagi semangat dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan,” katanya ketika ditemui selepas Program Dapur Belia 4.0, Arena Belia Kepayan, di sini baru-baru ini.

Hajiji (dua dari kiri) menyerahkan topi keledar kepada salah seorang pekerja penghantar makanan sambil disaksikan Ellron (kiri).
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang turut menyampaikan 250 bakul makanan serta 70 topi keledar kepada belia yang terlibat.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah (KBSS) dan Majlis Belia Sabah (MBS) sebagai usaha dalam menarik belia negeri yang hilang pekerjaan ataupun yang masih mencari pekerjaan untuk mendaftar melalui platform pencarian pekerjaan ‘MyFutureJobs’.
Presiden MBS, Ahmad Farid Sainuri berkata, data yang diperolehi dari PERKESO menunjukkan masih ramai lagi belia negeri tidak mendaftar dalam ‘MyFutureJobs’ walaupun terdapat 9,850 jawatan kosong yang ditawarkan melalui pelbagai sektor di Sabah.
“Usaha ini telah digerakkan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mendapat sokongan oleh Kerajaan Negeri melalui KBSS dan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 bawah inisiatif Bantuan Sabah Prihatin bagi merealisasikan program ini.
“Oleh itu, KBBS dan MBS melalui 17 badan gabungannya akan membantu dalam setiap program turun padang PERKESO bagi menggerakkan pertubuhan-pertubuhan belia dan pejabat belia di daerah untuk mengajak para belia mendaftar ke dalam sistem berkenaan,” jelas beliau.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin serta Pengarah PERKESO Sabah Dr Mohd Ali Hindia.
-RI