
Laporan/foto: Krisha Selladurai/Mohd Najib Mohaini (Pontian)
PONTIAN, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Pontian (MDP) telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) selaras dengan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri untuk masyarakat di daerah ini secara menyeluruh.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad, populasi penduduk di daerah ini meningkat pada setiap tahun dan mencecah jumlah 180,000 orang pada tahun 2020.
“Sejajar dengan pertambahan unit pegangan rumah dan populasi penduduk di daerah ini, Majlis Daerah Pontian mampu menjalankan fungsi sebagai Majlis Perbandaran yang pesat membangun.

Menteri Besar menandatangani plak Pengisytiharan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) sebagai tanda simbolik.
“Berdasarkan dapatan data penduduk dari Jabatan Perangkaan Negeri, unjuran penduduk bagi daerah ini untuk tahun 2020 adalah seramai 183,100 orang,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Pontian di Pejabat MPPn, di sini hari ini.
Tambahnya, Majlis Perbandaran Pontian juga telah menunjukkan pencapaian hasil melebihi RM20 juta bagi tahun 2017 hingga 2020, iaitu jumlah hasil yang memenuhi kriteria untuk menjadikannya sebagai sebuah Majlis Perbandaran.
“Hasil cukai langsung juga dijangka akan terus menjadi hasil utama bagi Majlis Perbandaran Pontian dengan pertambahan kawasan-kawasan pembangunan baru dan juga pertumbuhan pesat sektor perdagangan serta perkhidmatan di dalam kawasannya.
“Pelbagai usaha sedang dipergiatkan bagi meningkatkan hasil dari sumber-sumber lain terutamanya hasil bukan cukai,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar telah menyampaikan cek cura Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 untuk bantuan sekali beri bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana serta sektor masyarakat dan modal insan bagi pengusaha salun dan gunting rambut.
Hasni turut menyerahkan Bakul Prihatin MPPn sebagai simbolik penaiktarafan Majlis Daerah Pontian kepada Majlis Perbandaran Pontian yang mana sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan untuk membantu masyarakat di daerah ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19 agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.
-NI-