Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Sarawak Serah Tangki Gas Oksigen kepada Indonesia

By 29 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Joshua Amir Sibat/Jaed Tepus (Serian)

TEBEDU, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia menerusi kerajaan negeri Sarawak dimeterai menerusi Majlis Penyerahan Tangki Gas Oksigen kepada Kerajaan Indonesia yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Jemut Masing.

Majlis ketibaan Dr. James Jemut Masing di Perkarangan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu disambut oleh Delegasi Republik Indonesia.

Majlis ketibaan Dr. James Jemut Masing di Perkarangan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu disambut oleh Delegasi Republik Indonesia.

 

Menurut Masing, atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik serta kerjasama erat, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengizinkan dan membantu menyalurkan serta mengeksport bekalan darurat Oksigen ini kepada Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia.

“Sarawak hari ini menyempurnakan simbolik penyerahan sejumlah tujuh tangki gas oksigen dengan kapasiti 105 tan kepada Kerajaan Indonesia.

“Tiga daripada tangki oksigen tersebut telah dihantar pada 23 dan 24 Julai 2021 sementara empat buah kontena Liquid Oxigen (LOX) dihantar pada hari ini bagi memenuhi keperluan bekalan oksigen yang semakin kritikal setelah peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara jiran tersebut,” katanya ketika majlis penyerahan di Perkarangan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, di sini semalam.

Simbolik Penyerahan Tangki Oksigen dari Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Indonesia dengan kapasiti 105 tan.

Simbolik Penyerahan Tangki Oksigen dari Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Indonesia dengan kapasiti 105 tan.

Masing menjelaskan, transaksi ini dijalankan secara komersial yang mana kedua-dua kerajaan hanya menyelaras proses ini.

“Beberapa syarat yang dipersetujui bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) seperti pembekal oksigen hanya boleh diperolehi daripada syarikat yang berdaftar dan berlesen, pergerakan kontena dan pengangkut hanya dihadkan sehingga ke ICQS Tebedu, semua prosedur dan proses pengisytiharan seperti yang dikehendaki oleh jabatan/agensi tertentu perlu dipatuhi, tempat pemunggahan perlu dipersetujui oleh kedua-dua pembekal dan pembeli antara ICQS Tebedu dan ICQS Entikong serta Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung penularan jangkitan COVID-19 perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Syarikat Linde EOX Sdn Bhd yang beroperasi di Kuching akan mengurus bekalan oksigen ini dengan pihak Perusahaan PT Matesu Abadi dan PT Sarana Pasik Nusantara dari Provinsi Kalimantan Barat,” katanya.

Gambar kenangan antara Kerajaan Negeri Sarawak bersama Delegasi Republik Indonesia.

Gambar kenangan antara Kerajaan Negeri Sarawak bersama Delegasi Republik Indonesia.

Masing selaku Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Sempadan Negeri Sarawak telah mengarahkan Sekretariat yang diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Safri Zainudin, bersama-sama dengan agensi-agensi lain untuk membantu dalam menjayakan proses penghantaran tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan agar ianya sampai ke destinasi dengan selamat dan teratur.

“Antara agensi terlibat adalah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Pejabat Residen Serian, Pejabat Daerah Tebedu, Pejabat Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kami mengharapkan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh pihak Provinsi Kalimantan Barat dan berdoa agar situasi COVID-19 ini akan dapat dibendung dan kes berkurangan,” tambahnya.

Terdahulu, Komando Daerah Pangdam XII/Tanjungpura Mejar Jeneral TNI Muhammad Nur Rahmad mengucap syukur di atas perhatian Sarawak sudi membantu menyediakan kelengkapan bekalan oksigen serta penglibatan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya dalam usaha mengembalikan kesembuhan pesakit COVID-19 di negara jiran (Kalimantan Barat).

-ZS-

Tinggalkan komen anda