
PUTRAJAYA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam mengumumkan bahawa Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) baharu akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos, 2021.
Dalam kenyataannya, SKMM berkata ini merangkumi MSQoS khusus bagi penetapan kualiti piawaian minimum perkhidmatan pelanggan serta tiga MSQoS sedia ada diperbaharui bagi meningkatkan piawaian minimum kualiti perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.
“Kepentingan perlindungan pelanggan amat diutamakan oleh SKMM bagi penggunaan perkhidmatan telekomunikasi di bawah kawal seliaannya.
“MSQoS merupakan salah satu instrumen kawal selia utama yang diwujudkan bagi memastikan pengguna di Malaysia memperoleh perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti,” demikian menurut suruhanjaya itu.
Dalam pada itu, MSQoS yang baharu disediakan melalui Siasatan Awam bermula pada 8 April hingga 4 Jun, 2021.
Berikutan itu, SKMM telah mengeluarkan Laporan Akhir Siasatan Awam mengikut Seksyen 65 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang merangkumi MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu); MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar; MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap dan MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.
“MSQoS baharu ini akan membolehkan para pelanggan memastikan aduan yang dikemukakan itu diselesaikan dengan persetujuan mereka selain memastikan pengalaman perkhidmatan jalur lebar tetap mahupun tanpa wayar pada tahap yang memuaskan,” katanya.
— BERNAMA