Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

Treler Sukan Cub Prix Petronas Diubah Jadi PPV Bergerak

By 25 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Noramin Idris (Perak Tengah)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

BATANG PADANG, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 23 Februari 2021 hingga kini melihat semakin banyak pihak termasuk Kelab Peminat Cub Prix Petronas yang tampil ke depan dalam membantu kerajaan meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, berkata Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak anjuran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama kerajaan negeri antara kerjasama yang dijalinkan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi.

“Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan sebarang usaha dan sumbangan oleh mana-mana pihak untuk membantu program ini dan secara tidak langsung dapat mempercepatkan dan merealisasikan usaha negeri ini untuk memasuki Fasa Tiga Program Vaksinasi dengan menepati salah satu nilai ambang iaitu mencapai kadar 40 peratus vaksinasi,” katanya ketika hadir membuat tinjauan pada Program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak Daerah Batang Padang di Dewan Semai Bakti Felda Gunung Besout 1 Sungkai, di sini semalam.

Menteri Besar Perak (berbaju merah) memuji kesudian pihak Kelab Peminat Cub Prix Petronas menyediakan treler kepada penduduk kampung di Felda Gunung Besout.

Menteri Besar Perak (berbaju merah) memuji kesudian pihak Kelab Peminat Cub Prix Petronas menyediakan treler kepada penduduk kampung di Felda Gunung Besout.

Dalam program itu, dua buah treler sukan permotoran Cub Prix Petronas telah disumbangkan dan diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin Bergerak bagi kemudahan penduduk yang mengalami kesukaran untuk ke PPV berdekatan.

“Berdasarkan tinjauan bertemu orang awam sebentar tadi, saya mendapati ramai yang memuji usaha ini dan sekali gus memberi manfaat dan impak yang positif.

“Insya-Allah, jika bekalan vaksin mencukupi, program sama akan kita laksanakan di kawasan lain termasuk Felda yang ada,” katanya.

Program ini adalah kolaborasi antara Kelab Peminat Cub Prix Petronas Malaysia dan Safe Aim Mutual Sdn Bhd bersama Kerajaan Negeri Perak dan sebagai permulaan, ia melibatkan kawasan Felda Besout 1 sehingga Felda Besout 5 bermula Khamis lalu.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat Cub Prix Petronas Datuk Ton Zalani Mat Darus, berkata pihaknya menyediakan dua buah treler ini dengan harapan ia dapat membantu penduduk kampung di Felda Gunung Besout yang tinggal jauh dari pekan dan menghadapi kesukaran untuk ke PPV terdekat iaitu Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River yang mengambil masa hampir 30 minit.

“Pengubahsuaian treler tersebut merupakan suatu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari pihak kami bagi membantu kerajaan dalam kelancaran PICK.

Treler berhawa dingin sepanjang 40 kaki ini menempatkan lapan ruang tempat suntikan dan ia turut dilengkapi ruang rawatan kecemasan.

Treler berhawa dingin sepanjang 40 kaki ini menempatkan lapan ruang tempat suntikan dan ia turut dilengkapi ruang rawatan kecemasan.

“Inisiatif ini diambil sebagai langkah membantu kerajaan memandangkan tiada aktiviti sukan permotoran yang dibenarkan buat masa ini.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri Besar sendiri bersetuju dengan idea pelaksanaan PPV treler ini,  jadi pihak kami tidak mengambil masa yang lama untuk merealisasikannya,” katanya.

~RJ~

Tinggalkan komen anda