
Laporan/foto: Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 16 Jul (Malaysiaaktif) –Pemberian Vaksin secara pandu lalu yang telah mula diperkenalkan di Daerah Jempol pada 1 Julai yang lepas terpaksa ditangguhkan pelaksanaannya sehingga mendapat kelulusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol Nawal Mohamed Amin, Jawatankuasa CITF Persekutuan telah memberikan garis panduan berkenaan Tatacara Pemberian Vaksian Pandu Lalu dan Bergerak kepada CITF Negeri.
“Sebagai penyelaras CITF Daerah, pihak kami telah menghantar permohonan ini kepada CITF Persekutuan melalui CITF Negeri dan setakat ini berdasarkan kepada jadual program khidmat bantuan CITF bagi daerah Jempol, terdapat 30 program yang telah dilaksanakan dan termasuk program yang akan dijalankan yang juga melibatkan program pemberian vaksin secara pandu lalu.
“Justeru itu, permohonan yang melibatkan pandu lalu diangkat ke CITF Persekutuan untuk kelulusan,” ujarnya dalam kenyataan media, semalam.
Tambah beliau, Jawatankuasa CITF daerah maklum dengan keberkesanan pelaksanaan pemberian vaksin secara pandu lalu dan turut menerima surat sokongan daripada pejabat Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang menyokong serta memberi kebenaran untuk Pejabat Parlimen Jempol melaksanakan program pemberian vaksin secara Pandu Lalu.
“Pihak Jawatankuasa CITF daerah menyambut baik dan sentiasa akan menjadi pemudahcara dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Kita sangat berharap agar Jawatankuasa CITF Persekutuan akan memberikan kelulusan segera untuk pelaksanaan pemberian vaksin secara pandu lalu kerana kita maklum proses tersebut adalah memudahkan dan melancarkan pemberian vaksin kepada penerima terutama warga emas,” katanya.
-FF