Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Warga Emas Berusia 103 Tahun Teruja Terima Suntikan Vaksin

By 9 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Seorang warga emas berusia 103 tahun yang dipercayai merupakan wanita tertua di negeri ini menerima suntikan pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPV) Dewan 2020 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), semalam.

Menurut Som Rahman dari Kampung Balik Guar, pengambilan vaksin itu dibuat atas kesedaran bahawa ia sangat penting bagi melindungi diri memandangkan jumlah kes positif di negara ini masih tinggi.

“Saya begitu teruja untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia adalah untuk kebaikan semua, melindungi diri daripada ancaman penyakit ini.

“Jika sudah lengkap dua dos suntikan nanti saya berharap dapat bertemu dengan cucu dan cicit saya yang sudah lama tidak berjumpa berikutan COVID-19 yang melanda negara,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan 2020, di sini semalam.

Fauziah Deraman, 65, yang merupakan menantu kepada Som Rahman berkata beliau mendaftarkan ibu mertuanya  menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Saya bersyukur ibu sudah menerima suntikan pertama.

Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof menemani Som Rahman sehingga selesai proses suntikan vaksin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof (kiri) menemani Som Rahman (berkerusi roda) sehingga selesai proses suntikan vaksin.

“Ketika menerima suntikan hari ini, ibu kelihatan bersemangat dan memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik selepas disuntik,” ujarnya.

Tambahnya, pada permulaan ibunya akan menerima suntikan vaksin melalui program khidmat bantuan yang disediakan khusus untuk warga emas namun beliau bertegas ingin ke PPV untuk mendapatkannya.

Ketika proses suntikan, warga emas itu turut ditemani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof yang menemaninya sehingga selesai.

Azman memaklumkan, untuk suntikan dos kedua pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKM) akan mengatur bantuan untuk memudahkan golongan warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Tiga buah PPV disediakan bagi meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin di negeri ini bagi memastikan sasaran untuk imuniti kelompok tercapai.

“Pusat Khidmat Dewan undangan Negeri (DUN) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga digerakkan bagi membantu memudahkan pendaftaran masyarakat setempat dan yang akan hadir untuk sesi temu janji,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda