
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 1625 orang di wilayah itu menerima pelbagai insentif daripada Jabatan Pertanian sepanjang tahun 2021 bagi merancakkan lagi industri Pertanian di Labuan.
Menurut Pengarah Jabatan Pertanian Labuan Mohd Jurijh Abdullah Fauzi, insentif yang bernilai sejuta ringgit itu disediakan kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan hasil import dari luar Labuan.
“Kerajaan menyediakan insentif dengan melibatkan pelbagai jenis sub sektor tanaman antaranya Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Panjang, Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Pendek, Insentif Pembangunan Komuniti, Insentif Agro Food Park, Insentif Sayuran, Insentif Pembangunan Industri Cendawan, Insentif Projek Pertanian Organik, Insentif Program Kebuniti dan Insentif Pengukuhan MyGAP,” katanya yang ditemui sempena Program Penyerahan Insentif dan Promosi Buah-Buahan Terpilih di Jabatan Pertanian Labuan, di sini hari ini.
Jelasnya, dianggarkan sebanyak 563 metrik tan buah-buahan dikeluarkan dari Labuan pada tahun 2020 melibatkan pelbagai jenis tanaman termasuk durian, rambutan, manggis, manga dan banyak lagi.

Bashir (dua dari kiri), Jurijh (paling kiri) bersama penerima Insentif Pembangunan Tanaman Buah Jangka Pendek.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, menyarankan agar warga Labuan berhubung terus dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui jenis-jenis bantuan yang ditawarkan untuk membantu masyarakat di situ.
“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian komited untuk membantu masyarakat Labuan bagi mengusahakan tanaman bukan sahaja tanaman buah-buahan tetapi juga tanaman seperti sayur-sayuran, kelapa, ternakan kelulut, perusahaan industri asas tani dan sebagainya.
“Aktiviti pertanian ini akan memberikan pulangan dan keuntungan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti yang dibuktikan oleh beberapa pengusaha yang telah berjaya menghasilkan produk berkualiti,” jelasnya semasa merasmikan program tersebut.

Bashir bergambar kenangan bersama para penerima pelbagai insentif daripada Jabatan Pertanian Labuan.
Tambahnya, program itu diharap dapat membuka mata kepada orang ramai bahawa Labuan mampu mengeluarkan buah-buahan segar yang berkualiti seperti negeri-negeri lain selain.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.
-RI