
Laporan/foto: Zayana Isa/Hafiz Khairon (Kuantan)
KUANTAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Pernah berhadapan dengan kebakaran di rumah sendiri dan berhasrat untuk membantu penduduk setempat mendorong seorang warga emas menyertai pasukan Sukarelawan Bomba selama 20 tahun.
Menurut Tsant Siak Foy, 62, beliau mula bergiat aktif sebagai ahli sukarelawan bomba sejak berusia 20 tahun lagi.
“Rumah saya pernah mengalami kebakaran, disebabkan lokasi yang jauh dari balai bomba menyebabkan mereka lambat tiba.
“Berikutan kejadian tersebut, saya bertekad untuk menyertai sukarelawan bomba ini bagi membantu para penduduk kampung yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pasukan Bomba Sukarela Kampung Sungai Belat, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, banyak pengalaman yang diperolehi semenjak menyertai sukarelawan ini di antaranya ketika membantu memadamkan kebakaran di Balai Polis Gambang sebanyak dua kali.
Pengerusi Sukarelawan Bomba Gambang Muhd Azrai Wong Abdullah, berkata sukarelawan ini mula bergerak aktif sejak dari tahun 1980 lagi atas inisiatif para penduduk setempat yang ingin membantu jika berlakunya kebakaran di kawasan ini.
“Tanggungjawab kami bukan sahaja membantu memadamkan kebakaran, tetapi kami turut dipanggil untuk membantu menangkap ular dan membuang sarang tebuan,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, ahli-ahli sukarelawan bomba Gambang pernah dianugerahkan Sijil Penghargaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar Datuk Abdul Rahim Muda, atas keberanian membantu anggota bomba memadamkan kebakaran besar di Kampung Melayu Gambang.
-AH-