
Laporan/foto: Norlida Abdullah (Kulai)
KULAI, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang, Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Kulai, Pejabat Daerah Kulai telah mengadakan Program Komuniti Hijau COVID-19 sempena Sepakat@Komuniti Bulan Kebangsaaan dan Kibar Jalur Gemilang.
Menurut Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani, walaupun penularan pandemik COVID-19 memaksa pembaharuan dilakukan, ia tidak seharusnya melunturkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat negara ini.
“Pada tahun ini, angka 64 dipilih untuk dijadikan simbolik program pada hari ini di mana ia melambangkan 64 tahun negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan.
“Dalam program ini, sebanyak 64 buah rumah dan 64 buah motosikal dipasang dengan Jalur Gemilang serta 64 unit Jalur Gemilang juga turut diagihkan kepada orang ramai di sekitar Mukim Kulai,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Hijau COVID-19 sempena Sepakat@Komuniti Bulan Kebangsaaan dan Kibar Jalur Gemilang di Kampung Seri Gunung Pulai, di sini hari ini.
Tambah beliau, Jalur Gemilang turut diedarkan kepada ketua-ketua kampung di bawah Mukim Kulai untuk diagihkan ke kampung-kampung di bawah seliaan mereka.

Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani menyampaikan plak kepada pemilik rumah Mijor Paiman yang memenangi Rumah Patriotik.
“Saya berharap dalam tempoh masa yang masih berbaki tujuh hari sebelum ketibaan hari kebangsaan, orang ramai terutamanya penduduk daerah Kulai, tidak kira di kampung mahupun di bandar, agar dapat bersama-sama megibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau premis masing-masing bagi memeriahkan lagi suasana.
“Ayuh kita pamerkan rasa cinta kepada tanah air dan sila pastikan Jalur Gemilang dipasang mengikut protokol yang betul dan jika terdapat Jalur Gemilang yang telah usang dan koyak, gantilah dengan yang baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, sehingga kini tiada lagi kes yang membabitkan pemasangan Jalur Gemilang terbalik dilaporkan di daerah ini.
Pada program tersebut, rumah Mijor Paiman yang dihiasi dengan Jalur Gemilang telah dipilih sebagai pemenang Rumah Patriotik manakala Kampung Seri Gunung Pulai dipilih sebagai lokasi pelancaran program berikutan ia merupakan kampung pilihan bagi pertandingan Komuniti Hijau COVID-19 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor.
-NI-