Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bursa Malaysia Akhiri Dagangan Minggu Ini dengan Prestasi Positif

By 21 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Bursa Malaysia diniagakan dalam jajaran kecil semalam untuk mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi positif, berikutan momentum belian yang sederhana dalam pasaran secara menyeluruh.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.08 mata atau 0.20 peratus untuk ditutup kepada 1,518.03 daripada 1,514.95 semasa ditutup pada Khamis.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 2.28 mata kepada 1,517.23 dan turun naik antara 1,515.79 dan 1,522.68 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran turut positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 488 berbanding 418, manakala 473 kaunter tidak berubah, 829 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.68 bilion saham bernilai RM1.89 bilion daripada 3.30 bilion unit bernilai RM1.99 bilion pada Khamis.

Peniaga berkata pelabur telah mengambil kira ketidaktentuan politik untuk memacu ke arah pemulihan ekonomi.

Individu yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya di negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dibenarkan untuk makan di restoran, perkhemahan, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta pergi ke pasar malam mulai semalam.

Pada Jumaat, Istana Negara mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi Perdana Menteri Kesembilan Malaysia dan majlis angkat sumpah akan diadakan hari ini.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank merosot tiga sen kepada RM8.12, Public Bank menambah satu sen kepada RM3.92, CIMB dan Hong Leong Bank, masing-masing naik empat sen kepada RM4.64 dan RM18.34, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM7.94 serta TNB dan IHH Healthcare, masing-masing merosot lima sen kepada RM9.85 dan RM5.74.

Dalam kalangan saham aktif, KNM naik 1.5 sen kepada 23 sen, Advance Synergy menambah 2.0 sen kepada 19 sen, Kanger meningkat setengah sen kepada enam sen, Destini menokok tiga sen kepada 21 sen dan Avillion merosot dua sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 33.66 mata kepada 11,107.96, Indeks FBMT 100 menambah 29.06 mata kepada 10,820.64, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.17 mata kepada 12,217.51, FBM 70 naik 71.54 mata kepada 14,598.85 dan FBM ACE menokok 36.20 mata kepada 7,146.36.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 42.88 mata kepada 6,416.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.17 mata kepada 14,842.87 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.61 mata kepada 188.26.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.35 bilion saham bernilai RM1.56 bilion daripada 2.23 bilion saham bernilai RM1.69 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 325.37 juta unit bernilai RM56.11 juta daripada 291.83 juta unit bernilai RM53.03 juta kelmarin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 998.61 juta saham bernilai RM269.36 juta daripada 771.37 juta saham bernilai RM242.86 juta.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 742.90 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (557.13 juta), pembinaan (85.67 juta), teknologi (261.73 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.30 juta), hartanah (114.77 juta), perladangan (18.85 juta), REIT (5.28 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (358.65 juta), penjagaan kesihatan (324.30 juta), telekomunikasi dan media (26.75 juta), pengangkutan dan logistik (73.74 juta) dan utiliti (35.66 juta).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda