
Laporan/foto: Jennifer Stanis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Pandemik COVID-19 tidak menghalang usaha para penjaja di Pasar Inanam Point menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan menghias gerai mereka menggunakan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah.
Pengerusi Pasar Inanam Point, Ajimin Awang, 56, berkata aktiviti berkenaan telah dijadikan sebagai amalan mereka sejak lapan tahun lalu.
“Walaupun ada pemilik yang tidak dapat bersama-sama menghias gerai mereka disebabkan tinggal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun, mereka tetap berbesar hati menyumbang perbelanjaan membeli Jalur Gemilang dan bendera Sabah agar gerai mereka juga dapat dihias oleh 10 Ahli Jawatankuasa Tamu Inanam Point.
“Acara ini telah menjadi amalan para penjaja di sini sejak lapan tahun yang lalu sebagai ekspresi semangat merdeka sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
“Selain itu, ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penjaja, pelanggan dan masyarakat di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui di pasar tersebut, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penjaja yang popular dengan jualan kuih bulan, Mariani Mussidi, 37, berkata walaupun kini sudah memiliki dua premis perniagaan di tempat lain tetapi beliau tetap meneruskan perniagaan di tapak tersebut.
“Tempat ini memiliki makna dan kenangan tersendiri bagi saya kerana di sinilah sumber pertama rezeki saya sehingga berjaya membuka perniagaan lain.
“Selain pendapatan yang menguntungkan, saya juga rasa sayang untuk meninggalkan tempat ini kerana hubungan yang erat dan kerjasama yang baik sesama peniaga termasuklah dalam menjayakan sambutan bulan kebangsaan setiap tahun.
“Walaupun keadaan pada masa ini tidak mengizinkan kita untuk melakukan banyak aktiviti kemerdekaan tetapi kita masih boleh meraikannya dengan cara lain seperti memakai baju bermotifkan corak Jalur Gemilang atau berkongsi gambar berlatarbelakangkan kemerdekaan di platfom media sosial kita,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Penyelia Pasar Inanam Point, Rozinah Joniaas, menunjukkan Tanglung Merdeka ciptaan beliau yang dihasilkannya menggunakan bahan kitar semula.
Rozinah Joniaas, 36, yang bertugas sebagai penyelia Pasar Inanam Point pula berkata Kemerdekaan memberi makna yang luas kepada dirinya.
“Walaupun kita tidak terlibat dalam usaha memerdekakan negara dari penjajah kita harus meneruskan perjuangan nenek moyang kita dengan cara mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki.
“Dalam keadaan sekarang antara perkara yang boleh kita lakukan untuk menunjukkan semangat kemerdekaan adalah meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang sekeliling untuk sama-sama memerangi COVID-19 dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan vaksin agar kita kembali bebas untuk melakukan aktiviti harian seperti dahulu.
“Jadikan semangat perjuangan nenek moyang kita dalam memerangi penjajah sebagai iktibar dan inspirasi untuk generasi kita memerangi musuh yang tidak dapat dilihat ini,” ulasnya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam, Datuk William Majimbun (dua dari kanan), menyampaikan cenderahati kepada Mariani Mussidi (dua dari kiri) sebagai penghargaan dalam menjayakan program tersebut.
Tambahnya, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia sekali gus mencetuskan solidariti dalam mendepani cabaran yang mendatang termasuklah pandemik COVID-19.
“Sebagai rakyat yang bangga dan cintakan tanah air, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan jangan terlalu berkira untuk membeli bendera untuk sama-sama memeriahkan Bulan Kebangsaan.
-RI