Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dagangan di Bursa Malaysia Melonjak, 811 Kaunter Catat Keuntungan pada Penutupan Petang Selasa

By 25 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Dagangan di Bursa Malaysia melonjak pada Selasa untuk ditutup tinggi, dipacu oleh kaunter perbankan dan perladangan.

Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri urus niaga pada paras tinggi seharian 1,553.37, selepas mengukuh 30.94 mata berbanding 1,522.43 pada penutupan petang Isnin.

Indeks utama dibuka 1.78 mata lebih tinggi pada 1,524.21 dan berlegar antara 1,522.81 dan 1,553.37.

Pergerakan harga di pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 811 berbalas 319, manakala 390 kaunter tidak berubah, 699 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.55 bilion saham bernilai RM3.15 bilion daripada 4.21 bilion saham bernilai RM2.15 bilion pada Isnin.

Seorang penganalisis berkata keuntungan dilihat dicatatkan merentasi seluruh bursa di tengah-tengah pengukuhan minat pasaran dan sentimen yang semakin baik.

Beliau berkata harga minyak mentah dan minyak sawit mentah yang menggalakkan selain langkah-langkah pelonggaran kawalan pergerakan dalam negara turut menyumbang kepada prestasi pasaran domestik semalam.

Pada ketika ini, minyak penanda aras Brent mengukuh melepasi paras US$69 setong manakala minyak sawit mentah berada pada harga RM4,316 satu tan metrik pada penutupan urus niaga Isnin.

Pasaran turut dilonjakkan oleh kerancakan di pasaran bursa serantau dan kebimbangan yang kian mereda mengenai dasar Rizab Persekutuan AS yang sekali gus meningkatkan harapan kepada pemulihan ekonomi global yang lebih pantas.

Namun, para pelabur masih lagi memantau secara rapat simposium ekonomi Jackson Hole Amerika Syarikat yang dijadual diadakan pada Khamis, yang mungkin boleh memberikan sedikit petunjuk mengenai garis masa langkah pengurangan rangsangan oleh AS.

Sementara itu di pasaran tempatan, kaunter berwajaran tinggi Public Bank meningkat 17 sen kepada RM4.11, Maybank dan CIMB menokok 15 sen, masing-masing kepada RM8.32 dan RM4.83.

Hong Leong Bank melonjak 60 sen kepada RM19.00 dan Hong Leong Financial Group menambah 70 sen kepada RM18.02.

Bagi sektor perladangan, Sime Darby Plantation lebih tinggi 25 sen kepada RM4.16 dan IOI Corp naik 14 sen kepada RM3.89.

Dalam kalangan aktif, VSolar kekal pada 1.5 sen, D’nonce Technology menyusut 3.5 sen kepada 57 sen dan MMAG lebih rendah satu sen kepada 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 208.73 mata kepada 11,365.35, Indeks FBMT 100 naik 206.05 mata kepada 11,071.18, Indeks FBM Emas Syariah menambah 176.97 mata kepada 12,421.34, FBM 70 lebih tinggi 221.46 mata kepada 14,931.40, dan FBM ACE mengukuh 148.37 mata kepada 7,327.49.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 204.46 mata kepada 6,614.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 418.58 mata kepada 15,336.43, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.0 mata kepada 191.37.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.65 bilion saham bernilai RM2.74 bilion daripada 2.25 bilion saham bernilai RM1.72 bilion pada hari Isnin.

Jumlah dagangan waran mengukuh sehingga 406.88 juta unit bernilai RM56.40 juta berbanding 278.62 juta unit bernilai RM45.56 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE, bagaimanapun turun kepada 1.48 bilion saham bernilai RM352.91 juta berbanding 1.67 bilion saham bernilai RM383.40 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 568.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (806.52 juta), pembinaan (106.49 juta), teknologi (409.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (154.32 juta), hartanah (170.75 juta), perladangan (31.57 juta), REIT (7.65 juta), dana tertutup (26.600), tenaga (243.75 juta), penjagaan kesihatan (43.65 juta), telekomunikasi dan media (32.50 juta), pengangkutan dan logistik (55.32 juta) dan utiliti (20.08 juta).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda