Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Deklamasi Sajak dan Syair Semarakkan Semangat Kemerdekaan Warga Pejabat Daerah

By 26 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat) 

BATU PAHAT, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah Batu Pahat menganjurkan pertandingan deklamasi sajak dan syair bagi memberi peluang kepada kakitangan mereka menterjemahkan dan mempamerkan semangat cintakan negara mengikut norma baharu.

Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu, beliau berharap dengan penganjuran program seumpama ini mampu meningkatkan lagi jati diri dan menyemai rasa cinta pada negara agar ia sentiasa wujud dalam hati warga Pejabat Daerah Batu Pahat.

“Ini merupakan tahun kedua kita menyambut bulan kebangsaan secara bersederhana dalam persekitaran norma baharu, namun ia tetap penuh bermakna ketika negara masih berjuang mendepani pandemik COVID-19.

Seramai sepuluh orang kakitangan Pejabat Daerah Batu Pahat telah mempamerkan bakat dalam pertandingan mendeklamasikan sajak.

Seramai sepuluh orang kakitangan Pejabat Daerah Batu Pahat telah mempamerkan bakat dalam pertandingan mendeklamasikan sajak.

“Sehubungan itu, bagi memeriahkan suasana sambutannya, penganjuran pertandingan deklamasi sajak dan syair ini mampu menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan agar nikmat ini akan sentiasa dikenang,” katanya ketika ditemu bual wartawan Malaysia Aktif secara maya, baru-baru ini.

Tambah beliau, seramai sepuluh orang kakitangan pejabat daerah telah mempamerkan bakat dalam mendeklamasikan sajak kemerdekaan melalui kaedah alam maya.

“Para peserta perlu beraksi di hadapan kamera manakala juri yang terdiri daripada Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat dan Pegawai Perpaduan Daerah Batu Pahat akan mengadilinya melalui kaedah sidang video.

“Pertandingan sajak ini telah dilaksanakan pada 20 Ogos dan syair pula pada 24 Ogos yang lalu manakala pengumuman para pemenang hanya akan dibuat pada 31 Ogos 2021 nanti,” jelasnya.

Noraida kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta.

Noraida kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta.

Salah seorang peserta Shalini Ravindran, 31, meluahkan keterujaan apabila berpeluang membaca sajak buat pertama kalinya dalam suasana norma baharu.

“Saya berasa gembira kerana dapat menterjemahkan nikmat kesyukuran tinggal di bumi Malaysia yang bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-64 walaupun pada saat ini kita masih lagi dalam perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu.

“Perasaan gemuruh itu memang ada tetapi saya berasa bangga kerana dapat menyampaikan mesej kemerdekaan melalui sajak,” ujarnya.

Beliau berkata, bukan hadiah yang diimpikan tetapi peluang yang diberikan untuk meluahkan perasaan cinta dan kasih pada negara Malaysia yang telah 64 tahun Merdeka bakal diabadikan untuk menjadi kenangan yang paling berharga.

Juri jemputan dari Pejabat Perpaduan Batu Pahat, Noraida Mohamed, 45, berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta.

“Inisiatif yang diambil oleh Pejabat Daerah Batu Pahat dalam menggelorakan lagi sambutan bulan kebangsaan ketika pandemik ini adalah amat bersesuian dengan keadaan pada saat ini.

“Aura sambutan hari kebangsaan pada tahun ini perlu dibangkitkan agar semangat patriotisme sentiasa ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda