
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah/Hamizan Razali (Larut Matang dan Selama)
KAMUNTING, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Alunan lagu-lagu patriotik menggelorakan lagi semangat menyambut ketibaan Bulan Kebangsaan dalam Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Larut Matang dan Selama di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini pagi tadi.
Pengarah ADTEC Taiping, Zulkifle Osman menyatakan rasa besar hati atas pemilihan lokasi tersebut sebagai tuan rumah untuk melancarkan kempen berkenaan biarpun masih dalam situasi Pelan Pemulihan Negara Fasa II, Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap dipatuhi dengan baik.
“Pemilihan ADTEC Taiping secara tidak langsung memperkenalkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu kepada masyarakat umum.
“Program hari ini berjalan dengan lancar dan rata-rata penerima vaksin yang mengambil giliran hari ini berasa teruja serta gembira apabila menerima Jalur Gemilang mini yang dilekatkan di kereta dan Kit Merdeka yang mengandungi risalah Jalur Gemilang, pensanitasi tangan, pelitup muka dan gula-gula yang boleh dimakan sementara menunggu giliran untuk divaksinkan,” katanya ketika ditemu ramah.

Pengarah ADTEC Taiping, Zulkifle Osman melekatkan Jalur Gemilang mini ke kereta penerima vaksin secara pandu lalu.
Saban tahun Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dengan kerjasama Pejabat Daerah LMS mengelolakan program kemerdekaan demi menyemarakkan semangat menyambut Bulan Kebangsaan kepada masyarakat khususnya di daerah ini.
Penyerahan Jalur Gemilang kali ini diedarkan kepada jabatan dan agensi awam yang terlibat dalam Jawatankuasa COVID-19 Daerah LMS, Sukarelawan MyVac dan penerima vaksin dos kedua yang melalui kaunter pandu lalu.
Perasmian pelancaran dan penyerahan Jalur Gemilang serta Kit Merdeka telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah LMS Mohamed Akmal Dahalan.
~RJ~