
Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Ahmad Faisal Ahmad Tarmizi (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Generasi muda perlu menghayati erti kemerdekaan dan tanamkan semangat patriotisme dalam diri mereka untuk terus mempertahankan bangsa dan tanah air tercinta.
Pesara kerajaan, Mohd Imran Mohd Sharif, 81, ketika dikunjungi oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Kangsar Tuan Saiful Bahari Tuan Ismail berkata generasi muda hari ini perlu menanam semangat cinta akan negara dengan mengibarkan walau sehelai Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti yang jitu untuk membakar semangat pada diri mereka.

Mohd Imran, 81 ketika ditemu bual dan bercerita tentang pengalamannya pada zaman pemerintahan Jepun.
“Pada zaman pemerintahan Jepun, kehidupan bagaikan dalam neraka kerana saban hari rakyat Tanah Melayu diseksa dengan para wanita dan gadis dijadikan tempat pemuas nafsu serakah tentera Jepun durjana ini.
“Tidak berakhir di situ, setelah tamatnya zaman pemerintahan Jepun, datang pula pihak Bintang Tiga (Komunis) mengganas di Tanah Melayu.
“Di sinilah bermulanya titik permulaan dalam diri ini untuk memperjuangkan nasib rakyat Tanah Melayu yang ditindas,” ulasnya menceritakan pengalaman pada zaman tersebut di kediamannya di Jalan Selili, di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, Mohd Imran yang menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak Tahun 2021 berkata kreativiti menghias kawasan kediaman bagi tujuan sambutan kemerdekaan merupakan rutin tahunan, namun kelainan pada tahun ini apabila menyertai pertandingan dengan bantuan menantu, Hisyam Shaari.
“Saya bersama anak dan menantu bertungkus lumus menghiasi kawasan rumah dengan Jalur Gemilang termasuk bersaiz gergasi di perkarangan rumah dan kos anggaran yang telah dibelanjakan sekitar RM300,” katanya.
~RJ~