Laporan/foto: Muhammad Arief/Muhammad Hariz (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Cameron Highlands mewujudkan ‘green lane’ atau laluan khas di Masjid Abu Bakar Tanah Rata untuk kemudahan individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi menunaikan solat Jumaat.
Menurut Pegawai Agama Daerah Saiful Idham, laluan khas ini bertujuan bagi memastikan semua pergerakan jemaah terutama yang telah lengkap vaksinasi lancar tanpa perlu beratur dan bersesak untuk masuk ke masjid namun masih lagi mengikuti langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan.
“Laluan ini hanya dibuka pada hari Jumaat sahaja bagi memberi sedikit keistimewaan kepada para jemaah yang telah lengkap vaksinasi untuk menunaikan solat Jumaat.
“Seramai 250 orang sahaja dibenarkan masuk berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun yang telah lengkap vaksinasi tidak perlu beratur, hanya imbas suhu dan MySejahtera sahaja,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Tambah beliau, langkah ini wajar bagi melindungi serta mengawal penularan jangkitan wabak COVID-19 di Masjid di mana para jemaah yang telah lengkap vaksinasi mendapat keutamaan untuk mengerjakan solat Jumaat.
Seorang penduduk yang ditemui Muhammad Fauzi, 39, berkata beliau bersyukur kerana dengan adanya laluan khas ini yang secara tidak langsung membuka peluang untuk beliau menunaikan solat Jumaat tanpa perlu bersesak dan beratur panjang seperti sebelum ini.
“Saya telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan ini memberikan kelebihan kepada saya untuk menggunakan laluan ini.
“Oleh itu saya menyeru masyarakat di sini untuk segera mendaftar bagi menerima vaksin agar komuniti di sini dilindungi dari jangkitan wabak COVID-19 ini,” ujarnya.
-AH-