
Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
YAN, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah menyampaikan sumbangan kepada balu bencana banjir kilat di sini, Ranida Ahmad, 47, selepas suaminya Sharuzi Mohd, 53 meninggal dunia dalam fenomena kepala air dari Gunung Jerai ketika pulang dari kerja di Jerai Hill Resort baru-baru ini.
Pengarah ICU Kedah Dr. Megat Sani Megat Ahmad Supian, berkata sumbangan ini sebagai menzahirkan rasa simpati ke atas nasib yang menimpa keluarga mangsa kejadian dan beliau mengharapkan agar keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini.
“Saya mendoakan agar mangsa tabah dalam menghadapi saat getir ini dan redha atas pemergian arwah serta diberi kekuatan untuk besarkan anak-anak,” katanya ketika menyampaikan sumbangan di kediaman mentua mangsa di Ulu Sedaka, di sini kelmarin.
Sharuzi, pekerja Jerai Hill Resort meninggal dunia dalam kejadian kepala air pada Rabu lalu dan ditemui semalam oleh pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ranida ketika ditemui berkata, dia akan menggunakan wang itu sebaik mungkin untuk membayar hutang arwah dan membayar upah haji.
“Saya akan besarkan anak-anak sebaik mungkin menggunakan wang sumbangan yang diterima untuk pelajaran anak-anak, mujurlah anak sulung saya sudah bekerja manakala empat lagi masih belajar,” ujarnya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
~RJ~