Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Industri Perhotelan Sedia Terima Pengunjung – Haziz

By 30 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)

PORT DICKSON, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Industri hotel khususnya di Port Dickson kini bersedia menerima pengunjung setelah Negeri Sembilan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan, berkata sebanyak 90 peratus daripada 3,000 pekerja hotel dan pelancongan di Negeri Sembilan telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Semua pengusaha hotel yang berdaftar dengan MAH telah menetapkan hanya pekerja yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin sahaja akan dibenarkan bekerja termasuklah segelintir pekerja warga asing yang akan divaksin.

Haziz menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada wakil pekerja hotel.

Haziz menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada wakil pekerja hotel.

“Kita juga mahu memastikan semua hotel berada dalam keadaan yang selamat tanpa perasaan ragu-ragu terhadap hotel yang dikunjungi kerana mereka telah divaksin,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Bakul Makanan MAH Cares di salah sebuah hotel, di sini hari ini.

Tambah beliau, mereka tidak akan membenarkan pekerja yang menerima satu dos vaksin bekerja untuk keselamatan dan kesihatan pekerja serta pengunjung dan sehingga hari ini terdapat beberapa buah hotel yang telah mula beroperasi secara berperingkat mengikut kapasiti hotel tersebut.

“Bermula 1 September, semua hotel yang berdaftar dengan MAH akan mula beroperasi sepenuhnya serta wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan saya dimaklumkan sebanyak 30 peratus pengunjung akan mula menginap di hotel sekitar Port Dickson.

“Peralihan Negeri Sembilan ke fasa kedua serta kebenaran pergerakan rentas daerah akan merancakkan kembali aktiviti pelancongan dan industri hotel di negeri ini walaupun secara perlahan-lahan,” katanya lagi.

Terdahulu, Haziz telah menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 300 orang pekerja hotel yang terjejas di Negeri Sembilan.

-FF

Tinggalkan komen anda