
Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff/Hanif Samad (Tampin)
TAMPIN, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena bulan Kebangsaan tahun ini Pejabat Penerangan Daerah Tampin telah memulakan kempen bulan kebangsaan dengan melaksanakan hebahan bergerak Merdeka Info on Wheels (IoW) Merdeka di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Tampin Noraini Mohd Nasir, IoW Merdeka merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan dalam masa yang sama menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.
“Bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan, Pejabat Penerangan Daerah Tampin akan melaksanakan sebanyak 15 IoW Merdeka dan setiap hebahan yang disampaikan akan diselitkan dengan beberapa program menarik yang dipertandingkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia seperti pertandingan melukis Mural@Merdeka, pertandingan bercerita kanak-kanak dan pertandingan mewarna MyDoodle@Merdeka.
“Selain hebahan berkaitan pertandingan, pihak kami turut menghiburkan orang ramai dengan lagu-lagu patriotik menerusi unit bergerak kami,” ujarnya sewaktu melaksanakan IoW Merdeka di sekitar daerah ini, di sini semalam.
Tambah Noraini, Pejabat Penerangan daerah ini akan turut turun padang untuk mengedarkan jalur gemilang kepada penduduk setempat dan premis-premis jualan di daerah ini.
“Meskipun ketika ini negara sedang berperang dengan pandemik COVID-19, tetapi kempen kibar Jalur Gemilang tetap akan diteruskan dan dalam masa yang sama, saya akan pastikan setiap pegawai di lapangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.
Sepanjang Bulan Kebangsaan, Pejabat Penerangan daerah Tampin akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan terutamanya barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk bersama-sama melaksanakan IOW Merdeka dan kempen Kibar Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos hingga September.
-FF