
Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)
BESUT, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM500 yang diperuntukkan daripada kerajaan negeri memberi manfaat besar kepada seramai 47 orang petani di bawah sektor pertanian daerah Besut.
Pemberian bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kepada golongan petani terjejas yang kini masih berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Pemberian tunai secara pandu lalu ini telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr. Azman Ibrahim.
Zamani Abdullah, 52, yang juga seorang petani melahirkan rasa amat bersyukur kerana dengan pendapatan yang terjejas teruk pada masa sekarang sekurang-kurangnya bantuan ini mampu meringankan sedikit bebanan yang di hadapi sekarang.
“Bantuan ini memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada semua warga petani untuk terus menyumbang bakti dan tenaga di dalam sektor pertanian di daerah ini.
“Saya menyambut baik apa juga inisiatif kerajaan dan berharap bantuan untuk golongan mereka yang terjejas ini diteruskan dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi ketika penularan COVID-19 ini,” katanya ketika menerima bantuan tersebut di Pejabat Perikanan Daerah Besut, di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penerima Roslan Awang, 46, dari Kampung Jabi berharap bantuan seperti ini atau seumpamanya perlu diteruskan terutama dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih tiada kesudahan sehingga sekarang.
“Golongan petani B40 bukanlah mengharapkan bantuan semata-mata namun atas faktor pendapatan tidak tetap berikutan penularan wabak COVID-19 menyebabkan mereka minta kerajaan memberi perhatian sewajarnya dan sekiranya bantuan dihentikan ia akan memberi kesan yang amat mendalam,” katanya.
-ii-