
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IoW) Merdeka Jabatan Penerangan Labuan menyemarakkan suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM2021).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, IoW@Merdeka dilaksanakan Jabatan Penerangan W.P Labuan bermula 2 Ogos hingga 16 September ini bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dan meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sambutan HKHM 2021.
“IoW@Merdeka akan menjelajah ke setiap pelusuk pulau ini bagi sama-sama mengajak masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis bangunan, pejabat, kediaman dan di mana sahaja kita berada melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menggelorakan lagi kebanggaan kita kepada identiti Negara dan simbol kesatuan sebagai rakyat Malaysia.
“IoW@Merdeka turut membuat edaran Jalur Gemilang ke lokasi-lokasi tertentu seperti masjid dan surau, kawasan penjaja, premis kerajaan dan kawasan kampung bagi memberikan suasana sambutan HKHM 2021 yang lebih ceria,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Makanan dan Jalur Gemilang kepada 135 pemandu Grab serta 31 pemandu teksi air, semalam.
Jelasnya, prihatin dengan golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, IoW@Merdeka dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan turut mengambil inisiatif dengan mengedarkan 200 kit makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Labuan.
“Selain itu, IoW@Merdeka juga masih meneruskan hebahan mengenai sebarang maklumat terkini mengikut situasi semasa seperti hebahan Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 1 dan 3 serta informasi lain yang penting untuk diketahui masyarakat,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Othman (dua dari kanan) menyampaikan kit makanan kepada salah seorang warga emas di Kampung Ganggarak.
Selepas penyampaian sumbangan kepada pemandu Grab dan pemandu teksi air, IoW@Merdeka seterusnya bergerak ke Masjid Nurul Iman Kampung Ganggarak bagi menyampaikan sumbangan kit makanan kepada sepuluh orang warga emas selain menyerahkan Jalur Gemilang untuk dipasang di masjid itu.
-RI