
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
IPOH, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Islam adalah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik merupakan salah satu contoh yang menggambarkan agama Islam amat memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang hamba.
“Pendekatan maqasid syariah, konsep darurat, Fiqah al-Awlawiyat dan seumpamanya yang berlandaskan kerangka syariat melalui al-Quran dan as-Sunnah menjadi ukuran dan pertimbangan demi menjamin kemaslahatan serta menolak sebarang bentuk fasad yang sangat bertentangan dengan prinsip Ilahi.
“Penerimaan terhadap perubahan kaedah beribadah ini dapat dihayati melalui interaksi ilmu agar wujud kefahaman yang hakiki supaya tidak timbul salah faham mengenai Islam hingga merosakkan kredibilti agama,” titah baginda.
Dalam titah baginda juga menyebut tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang merupakan langkah semasa dilaksanakan secara besar-besaran untuk meningkatkan daya tahan rakyat menghadapi ancaman virus COVID-19.

Sultan Nazrin berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Keempat Belas pagi ini.
“Kerajaan beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepat program vaksinasi sebagai inisiatif pencegahan wabak COVID-19.
“Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan Orang Asli,” titah baginda lagi.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Keempat Belas di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini sebentar tadi.
Persidangan tersebut dipancarkan secara penstriman langsung melalui saluran YouTube dan pautan dipaparkan melalui portal dan facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
~RJ~