
Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Seiring dengan pelan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) 2035, perubahan mercu tanda Kuala Pilah iaitu deretan kedai emas sepanjang Jalan Dato Undang Johol dan Jalan Persekutuan 9 akan diberi nafas baharu oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.
Kewujudan deretan kedai emas di Kuala Pilah sering mendapat perhatian masyarakat bukan sahaja masyarakat tempatan malahan luar dari negeri Adat Perpatih ini dan pada setiap hujung minggu, deretan kedai emas yang terletak di pekan Kuala Pilah itu pasti menjadi tumpuan pelanggan, dari pagi hingga ke petang.
Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) Mohd.Faizal Abdul Manap, idea ini diadaptasi dari pemerhatian beliau mengenai Dubai Gold Souk yang terdapat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan pusat jualan emas terkenal di dunia.
“Sememangnya jajaran emas ini atau akan kita namakan sebagai Gold Street adalah satu usaha kita untuk menjadikan kawasan ini lebih moden disamping mengekalkan identiti sejarah yang ada seiring dengan konsep bandar mampan.
“Perniagaan emas di Kuala Pilah menjadi tumpuan pelanggan sejak sekian lama kerana menawarkan harga upah yang agak murah dan emas yang lebih berkualiti malah telah dipastikan peratus emas yang dijual adalah gred terbaik,” jelasnya ketika ditemui di Jalan Dato Undang Johol, di sini kelmarin .
Tambah Mohd. Faizal, beliau yakin dengan mengunakan jenama Gold Street itu dapat membantu merancakkan ekonomi selain emas memandangkan lokasi wajib singgah orang ramai terutama mereka yang melalui pekan ini untuk ke Pantai Timur.
“Impian kita ialah agar para peniaga disini dapat merasa suasana yang bersifat antarabangsa seperti Dubai Gold Souk, malah mampu mengangkat Kuala Pilah sebagai hub perniagaan emas terbaik di Malaysia,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, kawasan ini juga akan diletakkan mercu tanda yang bakal menarik perhatian pengunjung dan menjadi salah satu lokasi fotografi menarik untuk semua, demi memastikan keselamatan lokasi perniagaan ianya akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan kejadian jenayah di kawasan tersebut.
“Buat masa ini pihak kami telah menyediakan CCTV di tiga buah lokasi yang merupakan insiatif bandar selamat dan kami dapat melihat berlakunya pengurangan kadar jenayah di kawasan itu serta memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berbelanja di sini.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniagaan tetap diteruskan secara dalam talian yang dilihat sebagai inisiatif pemilik agar ekonomi dan sumber pendapatan dapat dijana,” katanya.
-FF