
Laporan/foto: Asmidar Zainol (Kota Kinabalu)
SEMPORNA, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Seorang peniaga percetakan baju menjadikan program vaksinasi yang dijalankan di daerah ini sebagai lubuk rezeki baginya dengan meraih pendapatan menerusi jualan baju khas untuk penerima vaksin.
Muhamad Abdul Pasad, 42, berkata kesukaran mencari rezeki semasa dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan dia terpaksa mengambil inisiatif membuka ‘gerai’ jualan baju bercetak di pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar daerah ini.
“Dengan hasil bantuan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) saya dan pekerja kini giat berniaga menjual pakaian bercetak khas vaksinasi kepada penerima vaksin di PPV dengan menggunakan trak miliki saya sendiri.

Muhamad bersama pekerjanya, Effa Syuhada Basrah (kanan) menunjukkan baju yang dijual yang direka khas untuk penerima vaksin.
“Idea ini datang menerusi inisiatif UPPM Senallang yang membantu peniaga kecil seperti saya untuk meneruskan perniagaan di musim PKP.
“Baju-baju bercetak ini saya reka sendiri sebagai kenangan kepada penerima vaksin,” ujarnya semasa ditemui pemberita ketika berniaga di Program Outreach Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Semporna di Sekolah Kebangsaan (SK) Bugaya, di sini baru-baru ini.
Muhamad yang berasal dari Kampung Menteritip, menambah sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan dan ramai yang membeli baju kerana mahu menjadikan ia sebagai tanda kenangan.
“Alhamdulillah, sambutan orang ramai begitu memberangsangkan dan dengan jualan baju ini secara tidak langsung dapat mempromosikan program vaksinasi kepada penduduk yang belum mendapatkan vaksin.
“Antara tulisan yang dicetak pada baju-t yang dijual adalah ‘Saya Telah Divaksin’ dan ‘Kita Mesti Menang’ serta slogan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’, dijual pada harga antara RM25 dan RM30 setiap satu, bergantung kepada jenis material kain dan pendapatan boleh mencecah RM500 seminggu,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu turut berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap diambil berat terutama pelanggan yang datang ke traknya untuk memilih baju yang dijual.
“Sebelum dibenarkan berniaga, pihak berkaitan memberi syarat supaya kami sentiasa menjaga SOP bagi mengelak daripada berlaku penularan jangkitan COVID-19.
“Jadi, kami akan memastikan baju-baju yang dijual sentiasa disanitasi selain meminta pelanggan turut menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga jarak ketika membeli,” tambahnya.
Muhamad turut menasihatkan peniaga yang lain supaya mencari kaedah lain dalam meneruskan perniagaan terutama dalam musim mencabar negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Saya harap peniaga lain tidak terlalu kecewa dan berusaha untuk meneruskan perniagaan dengan menggunakan peluang yang ada, insya-Allah dengan ikhtiar, ketika PKP ini ada hikmahnya kepada kita,” ujarnya.
-RI