
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
MASJID TANAH, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Pasukan Info on Wheels (IoW) Jabatan Penerangan Melaka (JaPen Melaka) telah menyusuri segenap pelosok Negeri Melaka membawa suara Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah Salina Hasan@Rashid, berkata di peringkat daerah ini mereka telah menjelajah setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung tradisional, taman perumahan, kampung baharu, kampung orang asli dan agensi kerajaan bagi menyampaikan masej kibar Jalur Gemilang.
“Cabaran besar kami dalam situasi pandemik COVID-19 bagi menjalankan kempen amat menguji mental dan fizikal, kami perlu lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan input-input kempen sampai ke masyarakat keseluruhnya.

Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan bersiap sedia melaksanakan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
“Di samping menggunakan unit hebahan kami juga aktif dalam media sosial bagi menguar-uarkan kempen yang dianjurkan kerajaan dan sudah pasti amat penting bagi kakitangan JaPen untuk menguasai media baharu,” ujar Salina ketika ditemui dalam program Kempen Kibar Jalur Gemilang Merdeka@Komuniti DUN Taboh Naning di Kompleks JAPERUN DUN Taboh Naning, di sini kelmarin.
Penduduk tempatan, Khairul Haszezy Asni, 42, berkata walaupun tidak boleh melaksanakan program seperti dahulu namun dengan adanya kempen Kibar Jalur Gemilang daripada pihak JaPen Melaka dapatlah mereka sama-sama merasa bahang sambutan Hari Kebangsaan dan Sambutan Kemerdekaan.

Khairul Haszezy (tiga dari kiri) menerima sumbangan Jalur Gemilang daripada Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah yang disampai oleh ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar(tiga dari kanan).
“Walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan menghadkan kehadiran masyarakat, saya merasanya intipati kempen ini sampai ke akar umbi, setiap masa kami mendengar hebahan kemerdekaan daripada unit JaPen Melaka.
“Saya berharap usaha JaPen ini dihargai dan diberi penghormatan, kami masyarakat kampung sentiasa menantikan kehadiran kakitangan Pejabat Penerangan Alor Gajah,” ujarnya.
-FF