
Laporan/foto: Muhammad Azran Abdul Malek (Melaka Tengah)
BANDAR HILIR, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Lapan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir hari ini bersepakat bergabung mengibarkan bendera Jalur Gemilang di tiga lokasi berbeza bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan kepada penduduk setempat.
Menurut penyelaras DUN Bandar Hilir Datuk Abdul Razak Rahman, walaupun negara sedang diuji hebat dengan Pandemik COVID-19, kita tidak seharusnya melupakan sambutan Bulan Kebangsaan kali ke-64 pada tahun ini.
“Seperti kita tahu tiada sebarang acara perbarisan dan perarakan kemerdekaan diadakan pada tahun ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan ini bermakna sudah dua tahun kita tidak menyambutnya jadi kita tidak mahu semangat kemerdekaan itu luntur daripada jiwa penduduk setempat.
“Kita menetapkan tiga lokasi berbeza hari ini bagi proses penyerahan Jalur Gemilang dan kit makanan sambil sepanjang perjalanan tersebut kita meminta pihak Jabatan Penerangan memainkan lagu berunsur patriotik dan kemerdekaan bagi menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui di Kompleks JAPERUN DUN Bandar Hilir, di sini semalam.
Tambah beliau, sebagai rakyat Malaysia sambutan kemerdekaan dengan norma baharu mestilah disambut walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama bagi menghargai perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara.
Setiausaha JAPERUN Bandar Hilir Nasrul Ahmad, berkata mereka memilih Kampung Portugis, Kampung Banda Kaba dan JAPERUN Bandar Hilir sendiri sebagai lokasi persinggahan.
“Kita juga ada memohon pihak Jabatan Penerangan mengedarkan bahan penerbitan dan poster berkaitan Bulan Kebangsaan kepada wakil JPKK yang terlibat,” ujarnya.
-FF