Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kapasiti Katil Hospital di Kawasan GKV Ditingkatkan

By 5 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kapasiti katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit COVID-19 di kawasan Greater Klang Valley (GKV) dipertingkatkan, termasuk menukarkan fungsi repurposed area dalam hospital sebagai wad pesakit.

Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit COVID-19.

“Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan COVID-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda