
Laporan/foto: Siscalistorina Janius/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
TUARAN, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kawasan yang dikenakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini tidak perlu dipasang kawat duri.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Penduduk di kawasan PKPD kini tidak memerlukan pemasangan kawat duri bagi mengawal pergerakan tetapi harus menggunakan akal fikiran dan kesedaran dalam menjalani kuarantin kendiri dengan rasa penuh tanggungjawab.
“Penduduk atau masyarakat di kawasan tersebut harus menjalani kuarantin dengan penuh rasa tanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19.
“Kuarantin kendiri ini penting dan masyarakat perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu kerajaan mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya semasa meninjau operasi Program Outreach Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) di Dewan Kampung Bunga Tenghilan Tamparuli, di sini semalam.
Jahid turut memohon kerjasama daripada warga yang terlibat dalam PKPD ini supaya mengamalkan SOP seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengamalkan kawalan diri sendiri kerana umum mengetahui betapa dasyatnya sekiranya diserang virus ini.
“Oleh itu, sentiasalah utamakan keselamatan diri dan keluarga dalam menangani kesan negatif penularan wabak COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah (JaPen) Nadzerah Abdullah, mendedahkan setakat 3 Ogos seramai 82,425 orang didaftarkan melalui 220 Program Outreach CITF anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah khususnya di kawasan luar bandar.
“Seramai 94,264 orang sudah mendapatkan suntikan dos pertama dan 22,542 orang lengkap menerima suntikan vaksin dos kedua dalam program Vaksinasi COVID-19 setakat kelmarin.
“Peranan JaPen Sabah tertumpu kepada membuat hebahan, promosi dan publisiti dalam mana-mana program khidmat bantuan sama ada dijalankan oleh Jabatan Penerangan atau agensi lain,” ujar beliau.
-RI