
Laporan/foto: Norfarhana Mohd Zainal Abidin (Petaling)/Aqilah Mazlan (Putrajaya)
SERDANG, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Petugas barisan hadapan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0, Serdang menerima kejutan istimewa berupa kit kata-kata semangat sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.
Kejutan istimewa ini merupakan inisiatif Unit Khidmat Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS), PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dalam usaha menaikkan semangat petugas barisan hadapan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang kian mencabar kini.

Suraya Banu Sallehudin sedang meletakkan kit kejutan pada kenderaan petugas barisan hadapan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Ketua Penolong Pengarah Unit Psikologi Kaunseling, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merangkap Penyelaras MHPSS Suraya Banu Sallehudin, berkata kejutan tersebut dijalankan dengan meletakkan kit yang mempunyai cenderahati dan kata-kata semangat di pemegang pintu kenderaan petugas yang bertugas termasuklah di cermin sisi motosikal.
“Sepertimana tema sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, kami juga mengambil pendekatan dengan menerapkan makna prihatin tersebut di kalangan petugas barisan hadapan di sini yang telah banyak berkorban masa dan tenaga dalam memerangi wabak COVID-19 semenjak Disember tahun lalu.
“Sebanyak kira-kira 500 kenderaan petugas PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima kejutan tersebut dan kejutan itu hanya disedari selepas tamat waktu kerja petugas.
“Saya berharap agar kejutan ini dapat membakar semangat petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat kepada negara dalam memerangi pandemik COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang petugas barisan hadapan Intan Rosmawannie Adlan, yang merupakan Pegawai Penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata kejutan seumpama ini merupakan sesuatu yang sangat diperlukan buat masa ini dan sekali gus mampu menceriakan dan menaikkan semangat petugas barisan hadapan terutamanya di PKRC Bersepadu MAEPS ini.

Salah seorang petugas MHPSS sedang memasang kit cenderahati pada salah satu dari 500 buah kenderaan yang menerima kejutan.
“Saya berasa amat terharu ketika melihat kejutan ini di pemegang pintu kereta saya dan sekali gus membuatkan saya terasa amat dihargai.
“Diharap semua petugas barisan hadapan di sini daripada pelbagai agensi akan terus kekal bersemangat walaupun menghadapi tugasan berat menguruskan pesakit COVID-19.
“Terima kasih MHPSS di atas usaha murni ini dan semoga kejutan seumpama ini dapat diadakan lagi di masa akan datang”, katanya.
-RI