
Laporan/foto: Mohamad Zaidy/Unit foto Jabatan Penerangan (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Tan Sri Annuar Musa yang secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini menekankan bahawa akses kepada kemudahan Internet dianggap sebagai hak asasi manusia selain daripada keperluan asas seperti pakaian, makanan dan tempat berteduh.
Beliau berkata akses internet merupakan satu perkara keutamaan yang akan beliau beri perhatian ketika menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Selain dari program Jalinan Digital Negara (JENDELA), akses kepada kemudahan internet perlu dilihat secara keseluruhan kerana untuk menjadi sebuah negara maju dan moden, maka aspek kemudahan internet dan berkaitan dengannya perlulah bertaraf dunia.
“Kita tahu negara ini adalah sebuah negara pesat membangun, ada kawasan bandar dan luar bandar, sekali-sekala kita dapat melihat bagaimana anak-anak kena panjat pokok tidak mendapat kemudahan dan sebagainya dan ini semua tidak boleh dipandang atau dibiarkan begitu sahaja.
“Selain itu kita juga perlu meneruskan segala rancangan yang telah berjalan sebelum ini terutama sekali Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan program berkaitan dengan perang melawan pandemik COVID-19.
“Saya percaya KKMM ada usaha-usaha tertentu, sudah tentu program JENDELA satu daripadanya dan ‘roll-out’ sedang dilaksanakan tapi kita akan lihat kepada semua ini.
“Akses kepada kemudahan Internet perlu dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia,” katanya kepada petugas media selepas menandatangani nota serahan tugas dan memulakan tugasan secara rasmi di Bangunan KKMM di sini, petang tadi.
-ZS-