Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kerjasama Bersepadu Mampu Perangi Wabak COVID-19 – Raja Perlis

By 25 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVID-19 yang melanda negara.

Baginda turut menzahirkan rasa gembira dan bangga dengan tahap kesedaran tinggi rakyat di negeri ini mengenai bahaya COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Rakyat di negeri ini mempunyai tahap kesedaran yang tinggi yang mana mereka sentiasa peka dan prihatin tentang bahayanya pandemik COVID-19 kepada negara dan meluahkan kebimbangan mengenai isu-isu yang berkaitan COVID-19 di platform media sosial masing-masing,” titah baginda dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke -14 di Kompleks DUN Kangar, di sini semalam.

Baginda berasa gembira dengan tindakan pantas kerajaan negeri yang menyantuni dan bertindak ke atas isu-isu besar yang dibangkitkan dan dibawa untuk pertimbangan dan keputusan kerajaan pusat.

“Perlis telah berjaya memasuki fasa tiga Program Pemulihan Negara (PPN) yang mana rakyat telah dibenarkan bergerak dengan lebih bebas.

“Ini membolehkan aktiviti ekonomi kembali beroperasi dan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan yang terjejas sumber pendapatan mereka,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar rakyat di negeri ini yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin agar sentiasa mengamalkan norma-norma baharu dalam kehidupan bagi mengurangkan dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Beta berharap hubungan dan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dapat diteruskan demi manfaat bersama,” titah baginda lagi.

Dalam titah itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan disambut Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari.

-NI-

Tinggalkan komen anda