
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia semalam menurun sedikit kepada 20,546 kes berbanding 20,670 kes yang direkodkan kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitter, memaklumkan perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara kini 1,404,899.
Menurutnya, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi dengan 7,307 kes diikuti Sabah (1,665), Kedah (1,596), Johor (1,508), Kuala Lumpur (1,442), Pulau Pinang (1,111), Perak (1,069) dan Kelantan (1,025).
Sarawak pula mencatat 963 kes, Pahang (926), Negeri Sembilan (698), Melaka (631), Terengganu (534), Putrajaya (47), Perlis (21) dan Labuan (tiga)
Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya semalam memaklumkan daripada 20,546 kes, 373 kes (1.8 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala baki 20,173 kes (98.2 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.
Beliau berkata secara keseluruhan, 17,802 kes (86.64 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tidak mempunyai sejarah atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.
Selain itu, beliau berkata kes sembuh mencatatkan 16,945 kes, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,145,128 kes manakala kes aktif sebanyak 247,261 kes.
Mengenai kes kematian baharu, 282 kematian dilaporkan melibatkan 108 kes di Selangor, Kuala Lumpur (45), Johor (44), Pulau Pinang (24), Kedah (15), Perak (13), Sabah (sembilan), masing-masing enam kes di Sarawak dan Melaka, lima kes di Negeri Sembilan, empat kes di Pahang dan tiga kes di Kelantan.
Katanya 214 mangsa adalah warga tempatan dan 68 warga asing dengan jumlah itu termasuk 101 kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) melibatkan 46 warga tempatan serta 55 bukan warganegara.
Sementara itu, sejumlah 1,059 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 526 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Mengenai 29 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 17 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 10 kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.
Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia kelmarin adalah 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.47, diikuti Kelantan (1.20) dan Sabah serta Pulau Pinang masing-masing catat 1.17.
— BERNAMA