
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SHAH ALAM, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebuah kilang yang beroperasi di Jalan Professor Khoo Kay Kim, Petaling Jaya di sini disyaki melepaskan efluen ke Sungai Penchala hingga menyebabkan banyak ikan mati.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bersama agensi-agensi lain bertindak menjalankan siasatan segera susulan aduan pencemaran di sungai berkenaan Khamis lalu.
“Siasatan di hilir sungai menemukan bangkai-bangkai ikan dan air berwarna keruh di kawasan tersebut mengalir ke Sungai Penchala.
“Siasatan diteruskan ke Jalan Professor Khoo Kay Kim mendapati keadaan longkang masih keruh dan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada premis kilang yang beroperasi pada jarak 165 meter ke Sungai Penchala.
“Pemeriksaan lanjut di premis kilang mendapati kilang tersebut telah melepaskan efluen mentah ke longkang berkenaan,” menurut kenyataan itu semalam.
Kenyataan menyebut, LUAS telah mengambil sampel efluen dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) turut menjalankan pensampelan ikan serta air sungai bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“LUAS akan mengambil tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, jika disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta.
“LUAS merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan orang ramai di atas keprihatinan agar kelestarian sumber air dapat dipelihara sewajarnya.
“Kami juga menyeru kepada semua pihak dan masyarakat untuk memaklumkan sebarang aktiviti yang disyaki berpotensi menyebabkan pencemaran agar siasatan dan tindakan segera dapat diambil,” katanya.
-RI