
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/KPJ Johor
JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Hospital Pakar KPJ Johor menyalurkan sumbangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) dan mesin penyembur pembasmi kuman bagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 di daerah ini.
Sumbangan itu disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Insan Sejagat Negeri Johor iaitu sebuah pertubuhan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di hospital-hospital di daerah ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Mohd Azhar Abdullah, objektif sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan pihaknya kepada para petugas barisan hadapan dalam menghadapi situasi getir penularan COVID-19.
“Pengurusan jenazah adalah satu kewajipan bagi umat Islam dan setiap pengebumian perlu disegerakan.
“Diharapkan dengan sumbangan ini dapat melancarkan lagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang berbeza dengan pengurusan jenazah biasa yang mana kami difahamkan sukarelawan berkenaan memerlukan 10 hingga 20 set PPE setiap hari untuk menguruskan jenazah,” katanya ketika ditemui semasa acara penyerahan sumbangan di hospital tersebut, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sejagat Negeri Johor Zulnizam Zainal Abidin, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pihak KPJ Johor di atas sumbangan tersebut.
“Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan pihak kami kerana bilangan mereka yang berani menguruskan jenazah COVID-19 tidak seramai pengurusan jenazah biasa, maka menjadi kewajipan persatuan untuk memastikan keselamatan mereka terjaga.
“Dengan sumbangan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban pihak pengurusan hospital untuk mengurus jenazah COVID-19,” ujarnya.
-NI-