
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Siti Norzila Dolah (Larut Matang dan Selama)
KUALA SEPETANG, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) hadir memberi sumbangan makanan kepada penduduk di Kampung Menteri Kuala Sepetang yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari.
Pengerusinya Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata bantuan ini meliputi 300 buah rumah dengan jumlah keseluruhan penduduk di sini adalah sebanyak 1500 orang dan majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan.
“Golongan nelayan juga terputus pendapatan harian dan bekalan makanan berikutan PKPD yang dilaksanakan.
“Mereka tidak boleh turun ke laut dan tidak dibenarkan menjual hasil tangkapan kerana bimbang akan berlaku penularan wabak ke kawasan komuniti lain,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kuala Sepetang, di sini pagi tadi.
Sebanyak 300 kotak makanan telah disediakan untuk diagihkan kepada setiap rumah dan bantuan ini akan berterusan bagi meringankan beban penduduk kerana hampir 70 peratus daripada mereka adalah nelayan.
Tambahnya LKIM juga akan menyerahkan bantuan percuma lain seperti ikan Q’Fish sejuk beku untuk setiap rumah dan hal ini bertujuan supaya mereka dapat bertahan dalam tempoh 14 hari PKPD berlangsung.
“Terdapat beberapa sukarelawan yang terdiri daripada pasukan Wanita Prihatin dan Wanita Srikandi bersedia untuk membantu menyediakan makanan dengan memasak dan menghantar makanan kepada penduduk yang kekurangan bahan memasak sebanyak dua kali sehari iaitu pada tengah hari dan juga malam,” ujarnya.
~RJ~