Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Pertahan Kerusi Majlis Pentadbiran di Kongres UPU

By 28 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: UPU

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Malaysia menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mempertahankan kerusi Majlis Pentadbiran (CA) Kesatuan Pos Sedunia (UPU) bagi penggal 2022-2025.

KKMM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Malaysia turut memenangi kerusi Majlis Operasi Pos (POC) sempena Kongres ke-27 UPU bermula 9 hingga 27 Ogos yang dihoskan Abidjan, Cote d’Ivoire.

Malaysia sebelum ini memegang kerusi CA bagi tempoh 2016-2021.

“Kejayaan Malaysia mempertahankan kerusi CA dan memenangi kerusi POC ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan oleh 192 negara anggota terhadap kepimpinan Malaysia dalam UPU yang merupakan badan khusus menjamin sistem pos yang benar-benar universal dan memberi manfaat kepada masyarakat global,” menurut KKMM.

Malaysia merupakan antara 41 daripada 46 buah negara yang melobi kerusi CA dan 48 daripada 62 negara untuk kerusi POC, UPU dalam mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030 melalui sistem UPU dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membina masa depan yang lestari demi kesejahteraan sejagat.

Selain KKMM, delegasi Malaysia turut terdiri daripada wakil Kementerian Luar Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Pos Malaysia Bhd.

Menurut KKMM, Kongres ke-27 UPU kali ini merupakan kongres hibrid pertama yang menyaksikan penglibatan negara anggota secara fizikal dan maya.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek yang mewakili kerajaan Malaysia ketika memberi ucapan dalam sesi plenari pada 25 Ogos menegaskan kembali komitmen Malaysia dalam menyokong secara aktif matlamat dan objektif UPU serta bersedia berkhidmat dalam UPU bagi penggal akan datang.

Ini dibuktikan melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan melalui KKMM dan agensi seperti SKMM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang telah mengembangkan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ), Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) dan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) untuk memacu pertumbuhan e-dagang, menurut KKMM.

“Perusahaan mikro dan kecil Malaysia juga mendapat manfaat daripada perkembangan e-dagang rentas sempadan pada masa hadapan melalui rantaian bekalan pos global yang lancar dan bersepadu selaras dengan strategi UPU,” menurut kenyataan itu.

KKMM memaklumkan kesesuaian UPU dalam ekonomi digital baharu harus diperluaskan melalui strategi yang bersesuaian dengan dasar, peraturan dan piawaian yang akan membina semula sistem pos antarabangsa, justeru adalah perlu penguasaan data, kecerdasan buatan dan inovasi diperkasakan untuk membawa sistem pos ke era digitalisasi global.

UPU adalah agensi khusus PBB yang ditubuhkan pada 1874, bertanggungjawab terhadap perkembangan dan kerjasama perkhidmatan pos antarabangsa, dengan CA berfungsi sebagai badan pembuat keputusan utama dan POC memfokuskan pada masalah teknikal dan operasi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda