Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Masyarakat Perlu Berganding Bahu Bantu Perangi Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran

By 1 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah (Kangar) 

KANGAR, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran adalah masalah global yang sangat kompleks dan membimbangkan yang mana ia merupakan satu bentuk ancaman terhadap pencabulan hak asasi manusia dan merentasi sempadan.

Menurut Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis Arif Helmi Junid, kesedaran awam dan komitmen masyarakat setempat terutama yang tinggal berhampiran sempadan negara dalam melaporkan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran mampu membendung dan mencegah masalah ini.

“Namun begitu, penglibatan orang awam dalam usaha membanteras isu ini di Malaysia tidak akan dapat dicapai sekiranya mereka tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang apakah sebenarnya pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“Masyarakat perlu didedahkan dan diberi kesedaran tentang peranan mereka dalam membantu memerangi masalah ini serta penerangan agar mereka tidak terlibat dalam menjadi tali barut aktiviti haram ini,” katanya lagi ketika menyampaikan Taklimat Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) secara maya, semalam.

Tambahnya, aktiviti haram pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran jika dibiarkan berleluasa akan memberi impak yang negatif bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga negara.

“Kebanyakan mangsa pemerdagangan manusia ini terdiri daripada orang dewasa, wanita dan kanak kanak yang akan dijual untuk pasaran seks, buruh paksa dan hamba, malah kegiatan ini adalah perhambaan moden.

“Manakala aktiviti penyeludupan migran atau pendatang tanpa izin (PATI) melalui jalan laut secara haram pula disebabkan oleh beberapa faktor seperti menghadapi masalah di negara asal, peluang pekerjaan dan mencari kestabilan politik,” ujarnya.

Rakyat perlu berganding bahu dan menjadi mata serta telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan agar kegiatan haram ini dapat diperangi - Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis

Rakyat perlu berganding bahu dan menjadi mata serta telinga pihak berkuasa agar kegiatan haram ini dapat diperangi – Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis

Arif berkata pelbagai kesulitan akan timbul bukan sahaja kepada pihak berkuasa tetapi juga masyarakat seperti ancaman keselamatan sosial, penularan penyakit berjangkit, hak rakyat terjejas dan masalah perumahan juga sosial.

“Jika kita imbas kembali pada tahun 2020, Op Benteng yang mula di laksanakan pada 4 Jun 2020 telah berjaya memberkas 29 individu di negeri ini yang terlibat dengan kegiatan PATI.

“Operasi ini merupakan operasi bersepadu yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM) bagi memperkukuhkan kawalan persempadanan baik di daratan mahupun perairan negara,” tambahnya.

Beliau memaklumkan pelbagai agensi lain turut terlibat dalam membantu memerangi masalah ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Sewaktu operasi ini dijalankan pelbagai masalah terpaksa dihadapi oleh pihak berkuasa termasuklah kewujudan pangkalan haram, lorong-lorong tikus serta kurangnya sokongan dari masyarakat tempatan.

“Saya amat berharap rakyat terutama para penduduk di negeri ini yang tinggal berhampiran dengan kawasan sempadan dapat berganding bahu dan menjadi mata serta telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan agar kegiatan haram ini dapat diperangi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan kini dalam landasan yang tepat dengan melaksanakan penambahbaikan langkah serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti ini.

-NI-

Tinggalkan komen anda