Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Masyarakat Sokong Dasar Kerajaan dalam Pulihkan Negara

By 24 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saipullah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Rata-rata masyarakat di sini yang ditemui bersetuju dan menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menggariskan beberapa strategi jelas mengenai hala tuju peralihan negara untuk keluar daripada cengkaman pandemik secara berfasa.

Meskipun begitu, pelaksanaan PPN ini tidak akan berjaya sekiranya rakyat di dalam negara tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi sepenuhnya pelaksanaan PPN bagi memberikan impak positif kepada ekonomi dan sosial negara.

Bagi Izzudin Mohamad, 22, beliau sebagai anak muda mengagumi kerajaan yang begitu serius melaksanakan pelan pemulihan berkenaan.

“Saya menyokong penuh dan percaya pelan ini sudah dibuat berdasarkan perkiraan sebaiknya dan seperti dinyatakan Perdana Menteri, berdasarkan fakta realistik.

Izzudin Mohamad, 22.

Izzudin percaya dasar yang dilaksanakan ini menumbang kepada kadar penurunan pesakit COVID-19.

“Kadar bilangan pesakit COVID-19 yang semakin menurun menandakan kepastian dan ketelusan kerajaan dalam menentukan fasa pemulihan dan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di pinggir bandar, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga makanan, Syazwan Hashim, 42, berkata penguatkuasaan kawalan pergerakan pada kali ini, kerajaan telah memberi ruang lebih longgar bagi kumpulan pendapatan rendah seperti penjaja, peruncit dan peniaga kecil diberikan kebenaran beroperasi.

“Kumpulan seperti kami kurang terkesan dan kebanyakan mereka yang terbabit dalam bidang runcit asas, pembuatan makanan, barang keperluan asas, jadi dalam konteks ini impak ke atas ekonomi sifatnya berbeza dengan PKP terdahulu.

Syazwan Hashim, 42.

Syazwan bersyukur kerajaan memberi ruang lebih longgar bagi kumpulan pendapatan rendah untuk kembali beroperasi.

“Kelonggaran yang diberikan kepada para peniaga kecil perlu dihargai oleh para peniaga dengan memastikan peniaga dan para pelanggan yang datang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk terus memakai pelitup muka walaupun sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Bagi pekerja kedai makan, Munira Abd. Rahman, 42, dari segi konsep, pelan pemulihan ini sangat mudah difahami oleh rakyat ketika ini.

“Rakyat sangat memerlukan pelan yang mudah difahami seperti ini.

Munira Rahman, 42.

Rakyat sentiasa menyokong dan bersama-sama kerajaan dalam membantu memulihkan keadaan negara – Munira.

“Bukan itu sahaja, rakyat di negara ini sentiasa menyokong dan bersama-sama kerajaan membantu memulihkan keadaan negara dalam mengatasi masalah, jangkitan dan krisis ekonomi akibat pandemik,” katanya.

-ii-

 

Tinggalkan komen anda