Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Budayakan Perpaduan, Raikan Kepelbagaian Tonggak Kekuatan Negara – Azlan

By 13 Ogos 2021Ogos 15th, 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaid Ahmad Zubid/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama menjadi tunjang agenda perpaduan negara yang membolehkan masyarakat di negara ini dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, konsep ‘Membudayakan Perpaduan dan Meraikan Kepelbagaian’ adalah tonggak kekuatan serta kesejahteraan negara selama ini agar kesepakatan antara kaum sentiasa dipupuk dan dipelihara.

“Malaysia Prihatin yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini sangat bertepatan dengan aspirasi agar seluruh rakyat Malaysia tidak kira penjawat awam, pekerja sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama berganding bahu memerangi wabak COVID-19.

“Perkataan prihatin itu sendiri jelas menunjukkan kecaknaan dan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2021 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Tambahnya, bersesuaian dengan tema Malaysia Prihatin, kerajaan negeri tidak ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada para penduduk yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Pelbagai insentif diperkenalkan oleh kerajaan negeri dalam membantu golongan yang terkesan seperti bantuan dana, pengurangan kadar cukai pertanian, penangguhan bayaran sewa beli dan sebagainya.

“Bantuan yang disalurkan ini sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi rakyat dalam mendepani wabak COVID-19 yang melanda negara,” ujarnya.

Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis pada hari ini diadakan secara hibrid iaitu gabungan antara digital dan bersemuka dengan kehadiran minima dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa tiga yang ditetapkan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof dan Pengarah Penerangan Negeri Azrul Hasan.

-NI-

Tinggalkan komen anda