
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah (Segamat)/MEDKOM
SEGAMAT, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri melancarkan program MINDX bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal yang memerlukan langkah pencegahan awal bagi mengatasi masalah tekanan dan trauma pesakit.
“MINDX merupakan program perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang dibuat secara dalam talian mampu mengurangkan impak kesihatan mental rakyat di negeri ini dalam mendepani pandemik COVID-19.
“Bagi golongan yang terkesan sepanjang tempoh pandemik ini, mereka memerlukan sokongan dan bantuan emosi bagi membantu mereka beradaptasi dengan norma baharu,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan ke Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), di sini semalam.
Tambahnya, beliau yakin program seumpama ini mampu memperkasakan pengurusan pandemik secara menyeluruh di negeri ini.
“Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi Negeri Johor merupakan salah satu insentif yang diumumkan kerajaan negeri pada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang lalu.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta kepada YPKDT yang akan memberi manfaat kepada 10,000 rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan memerlukan sokongan psikologi dan kaunseling,” ujarnya.
Hasni berkata, terdapat enam program yang dilaksanakan bawah insentif ini seperti sesi kaunseling dalam talian, webinar, klinik kaunseling, pasukan bergerak kaunselor Johor dan kumpulan sokongan.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai program ini boleh melayari laman sesawang www.mindx.my,” tambahnya.
Pada sesi lawatan kerja tersebut, beliau turut menyampaikan baucer makanan berjumlah RM2 juta kepada Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (Jcorp) Noor Ruzilawati Ruddin, di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Segamat.
-NI-