Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

MyFundAction Komited Bantu dalam Bulan Kebangsaan

By 17 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Leman (Port Dickson) 

PORT DICKSON, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 210 kotak rezeki ummat diperuntukkan di Negeri Sembilan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Pegawai Operasi Lapangan MyFundAction Shahidah Othman, berkata kotak rezeki yang diberikan ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Al-Baasith Negeri Sembilan.

“Pengagihan kotak rezeki ini adalah mengikut kepentingan bagi seseorang penerima dan di Port Dickson sendiri kita sediakan 30 kotak bagi golongan yang memerlukan.

“MyFundAction sehingga kini akan mengagihkan peruntukkan kotak rezeki secara sekali beri dan sekiranya penerima adalah tergolong dalam kes kritikal, pemberian kotak rezeki akan disalurkan secara bulanan,” katanya ketika ditemui dalam Sepakat@Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, di sini semalam.

Tambahnya, kes kritikal bagi seseorang penerima akan disaring melalui maklumat di dalam sistem pendaftaran secara dalam talian.

“Selepas saringan secara dalam talian ini, kita akan laksanakan pula penilaian secara fizikal dan sekiranya ada keperluan untuk menerima bantuan secara bulanan, barulah kita akan salurkan bantuan yang diperlukan,” katanya lagi.

Sementara itu Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson Norhaidah Md Esa, berkata Sepakat@Komuniti merupakan salah satu komitmen Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang kepada komuniti secara bersasar.

“Pihak kami tidak melepaskan peluang untuk turun bagi mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk setempat dalam menyemarakkan kempen ini di samping hebahan maklumat vaksinasi dan norma baharu.

“Walaupun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, sebagai rakyat Malaysia kita semua perlu bersatu padu menyerlahkan semangat cintakan negara dan berjuang memeranginya,” ujarnya.

Tambahnya, kempen kibar Jalur Gemilang pada tahun ini tetap meriah meskipun dilaksanakan dengan bersederhana serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Seramai 20 orang penerima telah dipilih bagi menerima sumbangan kotak rezeki ummat dan 400 helai Jalur Gemilang pelbagai saiz turut diedarkan.

Penyampaian sumbangan secara pandu lalu.

Penyampaian sumbangan secara pandu lalu.

“Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama rakan strategik Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dan MyFundAction turut dihadiri oleh Ahli DUN Kawasan Bagan Pinang Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

-FF

Tinggalkan komen anda