
Laporan/foto: Muhammad Amirul Miza Mohd Tamizi (Jasin)
JASIN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka terus mempergiatkan usaha menggalakkan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang ke pelosok negeri menjelang sambutan hari kemerdekaan yang ke-64 negara.
Pejabat Penerangan Daerah Jasin memilih lokasi di jeti nelayan bagi membuat hebahan berkaitan sambutan bulan kebangsaan di samping menjalankan aktiviti edaran Jalur Gemilang kepada Persatuan Nelayan Jeti Kuala Merlimau.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Jasin Azreen Ahmad, aktiviti hebahan ini memberi peringatan kepada orang ramai supaya terus sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“Jabatan Penerangan Melaka menyasarkan 45 program hebahan merdeka sepanjang bulan kebangsaan ini bagi meningkatkan suasana kemerdekaan kepada rakyat berikutan tiada acara-acara rasmi dapat dibuat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Sempena Bulan Kebangsaan ini kami turut memberi tumpuan untuk menyeru orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis dan kenderaan masing-masing.
“Kami membuat edaran Jalur Gemilang dan menukarkan Jalur Gemilang yang agak lusuh di bot-bot nelayan dan sambutan diberikan sangat membanggakan dan mereka bersemangat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di bot masing-masing,” katanya ketika ditemui sempena program hebahan Info on Wheel (IoW) di Jeti Kuala Merlimau, di sini semalam.
Pengerusi Nelayan Jeti Kuala Merlimau, Hasim Gamun, 54, berkata usaha murni Pejabat Penerangan Daerah Jasin dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan amat dihargai walaupun dalam tempoh yang sangat getir di mana negara diuji dengan pandemik COVID-19.
“Saya berharap agar kita bersama menjaga keamanan, kemakmuran negara dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi,” ujarnya.
-FF