
Laporan/foto : Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Tahap kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat dilihat pada hari ini agak luar biasa berdasarkan jumlah individu yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera meningkat secara mendadak.
Penyelia Sukarelawan, Mohd Razino Mohd Soud, 47, berkata situasi ini dapat dilihat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Ammar, di sini dan Pusat Pemberian Vaksin Kertih mendapat sambutan yang luar biasa berbanding sebelumnya.
Bagi Asita Salleh, 52, suri rumah dari Kampung Kertih, berkata dia begitu gembira dan teruja kerana berjaya melengkapkan dua dos vaksin sebelum menjelang hari kemerdekaan ini pada 31 ogos ini.
Menurutnya, apabila mendapat tahu kerajaan bakal memberi banyak kelonggaran yang diberikan kepada penerima lengkap dos vaksin, beliau mempunyai beberapa perancangan bersama keluarganya setelah sekian lama berkurung di rumah akibat pelaksanaan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan.
“Ini merupakan nikmat merdeka yang paling bermakna apabila saya berjaya melengkapkan dua dos vaksin,” katanya.
Dengan nada yang sama, Mohd Zullulnasri Seman, 32, dia berasa bangga kerana berjaya melengkapkan diri dengan dua dos vaksin sebelum hari kemerdekaan ini dan berharap masyarakat segera melengkapkan diri dengan vaksinasi kerana banyak keistimewaan diberikan oleh pihak kerajaan.
Bagi seorang warga emas Fatimah Mohd, 60, memuji kemudahan yang disediakan untuk golongan warga emas di sini.
“Saya bersyukur kerana berjaya melengkapkan vaksinasi pada bulan kebangsaan ini dalam usaha memerangi wabak berbahaya ini.
“Hari kemerdekaan pada tahun ini amat bermakna bagi saya kerana berjaya melengkapkan vaksinasi,” katanya selepas selesai menerima dos kedua vaksin.
-ii-