Skip to main content
Berita TimurTerengganu

ODP Raikan Bulan Kebangsaan

By 30 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

Kuala Terengganu- 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Walaupun pernah menghuni tirai besi, penghuni Rumah Perantaraan Negeri Terengganu Jabatan Penjara Malaysia, tetap menzahirkan rasa bangga menjadi anak Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan rumah mereka di Kampung Gong Penaga, di sini.

Menurut Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Wan Shamsul Bahari Wan Sulong, Kempen Kibar Jalur Gemilang ini perlu diteruskan dan diuar-uarkan kepada seluruh rakyat bagi melahirkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.

“Rumah yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara ini menempatkan 15 orang terdiri daripada pesalah yang pernah dipenjarakan dan menanti untuk dibebaskan dalam masa terdekat.

ODP menghiasi Rumah Perantaraan dengan penuh semangat.

ODP menghiasi Rumah Perantaraan dengan penuh semangat.

“Semangat patriotisme perlu dimekarkan sepanjang zaman oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sebagai tanda kesetiaan kita kepada negara tercinta,” katanya yang ditemui di pusat tersebut, di sini semalam.

Menurut Wan Shamsul, bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan, penghuni rumah itu dibantu oleh pegawai dan kakitangan Pejabat Parol Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Kuala Terengganu, menghias Rumah Perantaraan itu dengan Jalur Gemilang.

 

“Saya turut galakkan semua orang diparol (ODP) bawah seliaan untuk menyemai semangat patriotik dalam diri dan sayangkan negara dengan kembali menjadi masyarakat yang boleh berbakti kepada agama dan bangsa selain mengibarkan Jalur Gemilang tanda cintakan negara,” katanya.

ODP menghias Jalur Gemilang di Rumah Perantaraan, di sini semalam.

ODP menghias Jalur Gemilang di Rumah Perantaraan, di sini semalam.

Sementara itu, menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu Rusmiza Anuar, kesilapan silam mereka tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam menilai semangat cintakan negara.

“Mereka juga antara rakyat Malaysia yang turut bangga menyambut ulang tahun kemerdekaan negara dan berusaha keras memerdekakan diri mereka daripada lingkaran hidup yang membinasakan diri mereka.

“Semoga sambutan bulan kebangsaan tahun ini memberi makna dan mereka lebih menghargai erti kemerdekaan dan kebebasan dengan membuktikan bahawa mereka mampu bangkit menjadi warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda